KUALA LUMPUR: ASEAN tidak berganjak dengan pendirian dalam menjadikan Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai asas utama dalam menangani krisis di Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kandungan 5PC tidak terlalu rumit kerana ia menekankan keperluan mengadakan dialog, membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan serta kembali kepada meja rundingan dengan semua pihak terlibat.
Katanya, ASEAN akan memastikan segala usaha membantu Myanmar serta mengembalikan kestabilan negara itu kepada keadaan biasa berlandaskan 5PC.
“Pendirian itu menjadi asas kepada pengurusan dan pendekatan ASEAN dalam membantu Myanmar kembali kepada keadaan aman dan stabil.
“5PC merupakan asas kepada ASEAN terhadap krisis yang berlaku di Myanmar. Jadi kita tidak akan berganjak. Kita akan pastikan supaya asas dan perbincangan untuk membantu Myanmar kembali kepada keadaan biasa mesti melalui 5PC, katanya dalam sidang akhbar selepas perundingan tidak formal mengenai Pelaksanaan 5PC bersama delegasi ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya kesal kerana masih terdapat banyak halangan menyebabkan bantuan kemanusiaan tidak dapat disalurkan sepenuhnya ke kawasan yang memerlukan.
“Oleh itu, kita menyeru supaya pentadbiran Myanmar membenarkan bantuan kemanusiaan disampaikan tanpa halangan. Ini juga merupakan salah satu tonggak utama dalam 5PC.
“Kita mendesak pentadbiran Myanmar membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan segera. Ini adalah salah satu tonggak utama dalam Konsensus Lima Perkara,” katanya.
Tambah Mohamad, ASEAN dan negara berhampiran melihat isu jenayah rentas sempadan di Myanmar amat membimbangkan apabila memberi kesan buruk kepada rakyat masing-masing.
Katanya, masalah itu bukan sahaja menjejaskan hubungan dua hala, tetapi turut melibatkan rakyat pelbagai negara ASEAN.
“Mereka mesti menghentikan keadaan ini kerana ia telah menjadi masalah kepada negara-negara dalam ASEAN khususnya dan kita nak supaya menghentikan apa yang dipanggil sebagai mangsa jenayah rentas sempadan terhadap rakyat masing-masing.
“Kita menegaskan supaya kerajaan Myanmar serta pihak-pihak bertanggungjawab di negara itu mengambil tindakan tegas kerana ia kini menjadi ancaman kepada seluruh rantau ASEAN,” katanya. – UTUSAN










