ASEAN seimbang hubungan kuasa besar

ASEAN seimbang hubungan kuasa besar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN mengulangi komitmen untuk mengekalkan hubungan dengan kuasa besar dunia khususnya China dan Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu seiring dengan prinsip pemusatan yang dimainkan rantau ini untuk terus memperkukuh hubungan dengan pelbagai rakan antarabangsanya.

Katanya, pendekatan berterusan itu juga adalah bagi membina kepercayaan dalam kalangan pemimpin ASEAN, membolehkan rantau ini menangani cabaran bersama secara kolektif.

“Dua hari lalu kami baru saja mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump dan hari ini, kami bersama China.

“Ini dengan jelas mencerminkan kedudukan pemusatan ASEAN dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada rakan-rakan pimpinan ASEAN atas kebijaksanaan dalam mengekalkan pemusatan ini serta hubungan bersahabat dengan semua negara.

“Inilah yang kami anggap sebagai pendekatan berterusan yang membina kepercayaan, membolehkan kita menangani cabaran bersama secara kolektif,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN–China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

ASEAN kini disertai 11 negara anggota selepas Timor-Leste mengesahkan penyertaannya dalam kesatuan itu kelmarin.

Anwar berkata, keseragaman pandangan sepenuhnya mungkin sukar dicapai, namun Malaysia yakin penghargaan terhadap penglibatan China yang konsisten dan konstruktif dapat dikongsi bersama. 

Beliau menghargai penyertaan Perdana Menteri China, Li Qiang ketika Sidang Kemuncak ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC)–China yang berlangsung di ibu negara pada Mei lalu.

“Kami berasa amat berbesar hati menerima kehadiran anda sekali lagi hari ini. Kehadiran ini mencerminkan komitmen teguh dan berterusan China untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN,” katanya.

ASEAN dan China hari ini menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, bagi memperkukuh integrasi dan memacu pertumbuhan yang mampan serta inklusif di rantau ini.

Perjanjian ditandatangani Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN