KUALA LUMPUR: Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 disifatkan sebagai salah satu kejayaan penting dan menjadi pelengkap kepada pengukuhan hubungan negara rantau Asia Tenggara.
Perdana Menteri China, Li Qiang berkata, Malaysia juga berjaya melaksanakan kerja penting dalam memastikan kelancaran mesyuarat dan pertemuan-pertemuan yang melibatkan pemimpin dari pelbagai negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas layanan mesra yang diberikan kepada delegasinya sepanjang lawatan ini.
“Setiap kali saya datang, saya benar-benar merasa seperti di rumah sendiri dan menikmati pertukaran pandangan yang sangat baik dengan Malaysia,” katanya sebelum perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat dua hala di sini hari ini.
Perbincangan tertutup itu difahamkan menyentuh isu-isu serantau selain inisiatif yang bertujuan meningkatkan perdagangan dan pelaburan, terutamanya dalam sektor automotif dan teknologi tinggi, termasuk pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.
Mesyuarat itu turut membincangkan isu berkaitan jaringan infrastruktur termasuk peluasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang serta dalam bidang penting seperti unsur nadir bumi (REE), projek saluran paip air Perak-Pulau Pinang dan industri halal.
Kerjasama dalam sektor pelancongan dan mobiliti rakyat turut diketengahkan selain usaha meningkatkan kesalinghubungan udara dengan menarik lebih banyak penerbangan kargo dari China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mereka turut membincangkan kerjasama dalam industri semikonduktor dan mengekalkan sokongan untuk inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG).-UTUSAN











