ASEAN pacu pembangunan modal insan serantau - Ahmad Zahid

ASEAN pacu pembangunan modal insan serantau – Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pelancaran Forum Global Skill (GSF) 2025, di Hotel Shang Ri-La, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tahun Kemahiran ASEAN 2025 memberi fokus utama kepada pembangunan kemahiran dan pelaburan bersama dalam modal insan sebagai teras kepada pertumbuhan serantau yang inklusif dan mampan di rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemahiran melangkaui sempadan dan masa depan ASEAN terletak pada keupayaan negara-negara anggota untuk melabur kepada rakyat.

Beliau berkata, ia terutamanya melibatkan golongan belia yang merupakan majoriti daripada hampir 700 juta penduduk rantau ASEAN.

“Masa depan ASEAN terletak pada kekuatan rakyatnya. Kita tidak mampu membentuk masa depan secara bersendirian.

“Ilmu tiada sempadan dan bakat apabila dibangunkan secara bersama mampu mengangkat seluruh rantau ini,” katanya semasa Forum Kemahiran Global (GSF) 2025, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, antara agenda Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang sedang digerakkan untuk mengubah ‘dividen belia’ ASEAN menjadi pemacu inovasi dan kemakmuran jangka panjang.

“Fokus utama adalah pembangunan kerangka pengiktirafan kemahiran rentas sempadan, melalui kerjasama erat antara Sekretariat ASEAN, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE).

“Justeru, tiga komponen utama diberi tumpuan iaitu memperkukuh sistem kemahiran nasional dengan penyelarasan antara pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi hijau,” katanya.

‘Dividen belia’ merujuk manfaat ekonomi dan sosial yang boleh diperoleh oleh sesebuah negara apabila mempunyai jumlah penduduk muda yang besar, terutamanya jika golongan belia sihat, berpendidikan, mempunyai kemahiran yang relevan serta berpeluang untuk bekerja dan menyumbang kepada ekonomi.

Beliau berhasrat mahu memperluas peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran, khususnya untuk wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) serta pekerja dalam sektor tidak formal.

“Kita boleh mempromosikan pengiktirafan kemahiran secara serantau, bagi membolehkan ASEAN bergerak sebagai satu pasukan dengan tenaga kerja yang bergerak bebas, berdaya saing dan bersedia untuk masa depan,” katanya.

Ahmad Zahid menekankan kerajaan tidak boleh bergerak sendirian dalam usaha pembangunan kemahiran dan menyeru kepada penglibatan lebih menyeluruh daripada pihak industri dan majikan.

“Kerajaan mungkin menentukan haluan, tetapi rakyat dan perkongsian memberi momentum kepada perubahan.

“Model HRD Corp yang berasaskan sistem levi dengan majikan bersama-sama membiayai dan merangka latihan supaya ia kekal relevan dengan keperluan industri semasa.

“Saya merakamkan penghargaan kepada ILO, IOE dan Sekretariat ASEAN atas kerjasama yang berterusan dan kepemimpinan bersama dalam memperjuangkan agenda pembangunan kemahiran.

“Inilah semangat kolaborasi sebenar yang menyatukan kerajaan, majikan dan pekerja dalam membentuk masa depan yang inovatif, inklusif dan berteraskan nilai-nilai kemanusiaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×