ASEAN, Malaysia perlukan dana besar jaga perubahan iklim

ASEAN, Malaysia perlukan dana besar jaga perubahan iklim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak AS$422 bilion (RM1.78 trilion) diperlukan ASEAN dalam pembiayaan iklim manakala Malaysia memerlukan sekitar AS$570 bilion (RM2.41 trilion) pelaburan kumulatif dalam tempoh dua dekad bagi memastikan matlamat pembangunan dan iklim jangka panjang tercapai.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketahanan iklim bukan sekadar pelaburan alam sekitar malah ia memerlukan reka bentuk semula struktur kewangan.

Beliau yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, walaupun jumlah pelaburan yang diperlukan besar tetapi kos akibat tidak mengambil tindakan akan jauh lebih tinggi pada masa hadapan.

“Kita sudah menyaksikan bagaimana perubahan iklim menjejaskan keselamatan makanan, harga tenaga, rantaian bekalan dan kesihatan awam di rantau ini. 

“Anggaran awal menunjukkan ASEAN memerlukan pembiayaan iklim sebanyak AS$422 bilion menjelang 2030, manakala Malaysia memerlukan kira-kira AS$570 bilion pelaburan kumulatif dalam tempoh dua dekad akan datang untuk mencapai matlamat pembangunan dan iklim jangka panjang.

“Ini menuntut instrumen inovatif, model pembiayaan campuran dan dasar yang konsisten untuk meyakinkan pelabur,” katanya ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Johari berkata, Malaysia komited membangunkan strategi iklim negara yang kukuh dan realistik meskipun hanya menyumbang 0.69 peratus daripada jumlah pelepasan karbon global, 

“Teras komitmen ini ialah sasaran mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding tahap 2005. 

“Setakat 2021, Malaysia telah mencapai pengurangan 37.1 peratus melalui pelbagai langkah kecekapan tenaga, mobiliti bersih dan pengurusan guna tanah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN