KUALA LUMPUR: Para pemimpin ASEAN menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung tiga hari bermula Ahad ini menjadi perhimpunan paling penting dalam menjadikan rantau ini sebagai jambatan antara kuasa besar dunia ketika mereka bersaing merebut pengaruh geopolitik dan ekonomi global.
Justeru, mereka menaruh harapan tinggi agar sidang kali ini menjadi pentas untuk meredakan isu kritikal dunia termasuk perang di Gaza dan pencerobohan Russia di Ukraine dengan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Bagi Filipina yang bakal mengambil alih peranan sebagai pengerusi, ASEAN kekal platform penting bagi memastikan Asia Tenggara tidak terperangkap dalam persaingan geopolitik antara AS dan China, sekaligus memperkasa identiti rantau ini sebagai pusat kestabilan dan kerjasama antarabangsa.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma. Theresa P. Lazaro memuji kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.
Beliau menegaskan usaha diplomatik yang dimainkan berjaya memperkukuh keupayaan blok serantau dalam menguruskan hubungan dengan kuasa besar dunia.
“Dalam konteks hubungan antara AS dan China, ASEAN sentiasa memainkan peranan penting dalam mengemudi hubungan antara dua kuasa geopolitik ini. Sumbangan ASEAN dalam hal ini semakin meningkat.

“Isu ini pernah menjadi cabaran kepada pengerusi-pengerusi sebelum ini, namun Malaysia berjaya melakukan banyak usaha berkesan dalam menangani cabaran tersebut,” katanya.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dijadual membentangkan pandangan negaranya mengenai usaha memperkukuh peranan ASEAN dalam menghadapi perubahan global termasuk keutamaan untuk memastikan rantau ini kekal relevan dalam landskap antarabangsa masa kini.
Prabowo akan diiringi oleh Menteri Luarnya, Sugiono dan Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya.
Dalam ucapannya, Sugiono menegaskan ASEAN mesti kekal neutral dan berwibawa di tengah-tengah persaingan kuasa besar, perpecahan ekonomi global dan kemerosotan undang-undang antarabangsa.
Katanya, kekuatan ASEAN terletak pada kebebasan dan kredibilitinya sebagai aktor serantau yang inklusif dan berkecuali, sambil mengulangi komitmen terhadap Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) yang menekankan penyelesaian aman, tidak campur tangan, serta saling menghormati antara negara.
Kerajaan Thailand pula melihat sidang ini sebagai peluang untuk menonjolkan kepimpinan strategik mereka dalam ASEAN.
Jurucakap Kementerian Luar, Nikorndej Balankura menjelaskan, strategi Thailand kali ini berteraskan empat tunjang utama berkaitan kerjasama serantau terutamanya dalam menangani ancaman penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia, jerebu rentas sempadan, wabak penyakit dan bencana alam.
Sebagai jiran terdekat Myanmar, Thailand turut menegaskan komitmennya menyokong usaha ASEAN dalam mencari penyelesaian di negara bergolak itu, termasuk meneruskan kerja utusan khas ASEAN bagi Myanmar.

Nikorndej menyifatkan kembalinya Kemboja ke meja rundingan sebagai satu kejayaan konkrit, menjangkakan satu deklarasi damai akan ditandatangani antara kedua-dua negara semasa sidang ASEAN kali dengan AS dan Malaysia bertindak sebagai pemerhati.
Menjelang sidang kemuncak itu, kumpulan hak asasi Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York dan Justice for Myanmar (JFM) turut menggesa pemimpin ASEAN menolak rancangan pilihan raya junta tentera Myanmar yang dijadual pada Disember ini.
Kedua-dua kumpulan hak asasi itu menyeru ASEAN dan rakan dialognya untuk meningkatkan tekanan diplomatik terhadap junta Myanmar dan memperkukuh bantuan kemanusiaan kepada jutaan rakyat negara yang kehilangan tempat tinggal sejak rampasan kuasa Februari 2021.
Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri majlis menandatangani perjanjian sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan serta mengadakan mesyuarat dua hala, Ahad ini. – UTUSAN










