ASEAN Arts & Crafts Bazaar 2025 sasar 100,000 pengunjung

ASEAN Arts & Crafts Bazaar 2025 sasar 100,000 pengunjung

TIONG King Sing melawat rerurai jualan ASEAN Arts & Crafts Bazaar (AACB) 2025 bersempena Forum Komuniti Sosio-Budaya ASEAN Ke-34 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, kelmarin. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ASEAN Arts & Crafts Bazaar (AACB) 2025 yang berlangsung selama 10 hari di Kompleks Kraf bermula esok hingga 20 Oktober depan menyasarkan kehadiran seramai 100,000 pengunjung.

Bazar itu dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Ketua Setiausaha Motac, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, penganjuran buat julung kali itu adalah penting sebagai usaha mengangkat seni kraftangan di rantau ASEAN ke peringkat asia dan antarabangsa.

“Sebanyak 10 negara anggota ASEAN mengambil bahagian bagi mengetengahkan produk masing-masing. Kraftangan dari negara kita juga mempunyai pelbagai produk antaranya yang berasaskan tekstil, hasil rimba dan hasil tanah.

“AACB melibatkan penyertaan seramai 200 usahawan tempatan. Jadi, kita sangat menggalakkan orang ramai hadir kerana kemudahan awam terletak berdekatan iaitu MRT Conlay,” katanya ketika ditemui selepas melawat bazar AACB 2025 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Semalam, turut berlangsung program walkabout AACB di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid sempena Persidangan 34th ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) Council Meeting And Related Meeting, yang berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober.

Acara itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bersama delegasi ASEAN lain.

Turut hadir, Pengerusi Kraftangan Malaysia, Mohd Al-Hafizi Ab. Bakar dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Haji Ramli.

Sempena persidangan itu, AACB dianjurkan bagi menghimpunkan produk kraf tempatan dari seluruh negara dan sebagai platform
kepada usahawan dan komuniti kraf untuk mempromosikan produk kraf mereka.

Kraftangan Malaysia turut memahat kejayaan dengan melonjakkan produk kraf tempatan serta mengantarabangsakan industri kraf Malaysia menerusi pelancaran kad debit Maybank menggunakan imej tenunan songket.

Usaha itu adalah selari dengan persediaan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi mempromosikan produk kraf tempatan kepada pelancong antarabangsa.

Delegasi ASCC berpeluang menyertai aktiviti mewarna batik dengan menampilkan rekaan bunga yang mewakili negara-negara ASEAN iaitu Anggerik Bulan (Indonesia), Simpor (Brunei), Dok Champa (Laos), Sampaguita (Filipina), Vanda Miss Joaquim (Singapura), Ramduol (Cambodia), Padauk (Myanmar), Teratai (Vietnam) dan Ratchaphruek (Thailand), Bunga Raya (Timur Leste).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN