PETALING JAYA: Artis wanita pertama syarikat Awakening Music, Jaqlyn melancarkan single sulungnya yang berjudul This Is Who I Am.
Penyanyi dan penulis lagu yang berasal dari Austria itu menghasilkan buah tangan pertamanya bersama artis multi-platinum Awakening, Maher Zain, serta pasukan kreatif yang terkenal di peringkat antarabangsa.
Menurut Jaqlyn, lagu ini merupakan lagu puisi yang kuat tentang identiti, keimanan, dan penerimaan diri sekaligus membawa pendengar dalam perjalanan ketabahan, merangkul cabaran dan kejayaan yang membentuk dirinya.
“Merakam This Is Who I Am terasa semula jadi dan mudah, ia mengalir terus dari hati saya. Saya rasa bertuah dapat berkongsi keimanan dan nilai-nilai saya melalui muzi.
“Saya berharap lagu ini memberi kekuatan kepada orang lain untuk menerima diri mereka yang sebenar,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Selain mempamerkan keupayaan vokal Jaqlyn yang dinamik dan kedalaman emosinya, lagu ini turut membuktikan kesenianya menggabungkan kelembutan dan kekuatan yang memberi inspirasi baharu dalam muzik kontemporari berunsur keimanan.
Kini pada usia 23 tahun, Jaqlyn memulakan perjalanan profesionalnya selepas menandatangani kontrak dengan Awakening Music.
Menurut Pengasas Bersama dan Pengarah Awakening Music, Bara Kherigi, kreativiti Jaqlyn dalam berkarya membuatkan pihaknya tertarik untuk memilihnya sebagai artis wanita pertama Awakening Music.
“Kami sangat berbesar hati menyambut kehadiran Jaqlyn ke dalam keluarga Awakening Music.
“Mesej dan kesenianya meraikan kreativiti, kekuatan, dan perwakilan wanita dalam muzik Islam, dan kami berasa bangga dapat melangkah bersama dalam perjalanan ini,” ujarnya.
Untuk info, Jaqlyn dilahirkan di Graz, Austria, yang berdarah campuran Austria dari sebelah ayah dan Georgia dari sebelah ibu. Sejak kecil, muzik telah menjadi perkara yang penting dalam hidupnya.
Diinspirasikan oleh ibu dan neneknya, beliau sering menyanyi lagu balada daripada ikon vokal seperti Céline Dion dan Lara Fabian, membina suara yang kini memikat jutaan pendengar.
Minatnya terhadap persembahan membawanya dari bidang lakonan dan sukan kepada tumpuan sepenuhnya dalam muzik.
Pada September 2024, Jaqlyn mencapai kejayaan besar di rancangan The Voice of Germany, di mana persembahan lagu “Nothing’s Gonna Change My Love for You” oleh George Benson menerima pujian sebulat suara daripada keempat-empat juri selebriti.
Persembahan itu kini telah menarik perhatian lebih 4 juta tontonan di YouTube, meneguhkan kedudukannya sebagai suara baharu yang luar biasa.
Dalam pada itu, Jaqlyn membuat keputusan untuk memeluk Islam pada Januari 2023 dan menganggap transformasi tersebut memainkan peranan utama dalam kerjaya seninya.
“Memakai hijab tidak menghalang saya daripada menjadi berani atau kreatif. Malah, ia memberi kekuatan untuk saya menjadi pemimpin dan pengaruh positif,” kongsinya. -UTUSAN