Lazimnya, dalam dunia selebriti di Hollywood, ada artis yang suka berkongsi kisah keluarga mereka dengan peminat. Bagaimanapun, tidak semua begitu terbuka.
Ada juga yang memilih untuk merahsiakan kehidupan peribadi, termasuk tentang anak mereka. Malah, ada yang langsung tidak mendedahkan bahawa mereka sudah mempunyai anak sehinggalah selepas kelahiran berlaku.
Keputusan ini menimbulkan tanda tanya, mengapa ada artis yang menyembunyikan anak mereka daripada perhatian umum?
Ini merupakan antara artis Barat yang pernah melakukan hal tersebut.

MICHAEL CERA
Michael Cera mengakui dirinya sangat berahsia tentang kehidupan peribadinya. Malah, dia juga bukanlah orang pertama yang mendedahkan mengenai anaknya.
Sebaliknya, ia dilakukan oleh pelawak Amy Schumer. Pada Mac 2022, Amy yang membintangi Life & Beth bersama Michael berkongsi mengenai perkara itu.
“Michael pun sudah ada anak. Adakah itu pengetahuan umum? Saya baru sahaja mendedahkannya, saya telah ‘membocorkan’ rahsia mengenai anaknya,”ujarnya.
Beberapa hari kemudian, Michael menjelaskan bahawa dia dan isterinya, Nadine, memang telah menyambut kelahiran anak pertama mereka bersama enam bulan sebelum itu.

KRISTEN DUNST
Kirsten Dunst menyambut kelahiran anak keduanya bersama Jesse Plemons pada 2021 namun dia tidak mendedahkan berita itu sehinggalah beberapa bulan kemudian, dia menceritakan hal itu dalam satu temu bual bersama New York Times.
Dalam temu bual tersebut, Kirsten secara bersahaja memperkenalkan anak lelakinya yang diberi nama James Robert kepada penulis.
“Inilah orang baharu, si Big Kahuna. Dia seorang malaikat, tetapi malaikat yang sentiasa lapar. Dan malaikat yang berat juga,”katanya.
Bercakap tentang pengalaman membesarkan anak kecil itu, Kirsten mengakui sebagai ibu mustahil dia mampu membuang rasa penat.
“Saya sangat penat, saya tidak tidur lena sepanjang malam selama empat bulan. Saya juga sudah mula mengalami kedutan pada mata,”katanya.

KYLIE JENNER
Seperti yang anda tahu, Kylie Jenner terkenal kerana menyembunyikan kehamilannya.
Kylie hanya mendedahkan bahawa dia telah melahirkan anak perempuannya bersama Travis Scott beberapa hari selepas bayi itu dilahirkan.
Pada masa itu, Kylie menulis sebahagian kenyataannya di X (Twitter):
“Saya minta maaf kerana merahsiakan perkara ini daripada anda semua di sebalik segala spekulasi. Saya faham anda sudah terbiasa mengikuti setiap perjalanan hidup saya.
“Kehamilan ini adalah sesuatu yang saya pilih untuk tidak kongsikan kepada dunia,”katanya.
Kylie juga berkongsi sebuah video berdurasi 11 minit bertajuk To Our Daughter, yang memaparkan rakaman di sebalik tabir perjalanan kehamilannya.

ADAM DRIVER
Pada 2023, Adam Driver secara santai mendedahkan bahawa isterinya, Joanne Tucker, telah melahirkan anak kedua mereka lapan bulan sebelumnya.
“Saya ada seorang anak lelaki berumur enam tahun, dan sekarang anak perempuan saya berumur lapan bulan dan anda akan lupa betapa susahnya menjaga seorang bayi.
“Kali pertama dulu, masa berlalu terlalu cepat dan saya terlalu risau mahu dia cepat membesar supaya dia boleh berkomunikasi dan memberitahu saya apa yang tidak kena,”ujarnya.
Bagaimanapun, Adam kemudian menyatakan kali ini dia cuba untuk lebih menikmati pengalaman sebagai seorang bapa.

SOPHIE TURNER
Sophie Turner menyambut kelahiran anak pertamanya bersama bekas suaminya, Joe Jonas pada Julai 2020, namun dia tidak pernah mengumumkan kehamilannya secara terbuka sehinggalah September.
Dia akhirnya berkongsi beberapa foto yang belum pernah dilihat sebelum ini yang menampakkan perutnya yang sedang hamil.
Dua tahun selepas kelahiran anak perempuan pertama mereka yang dinamakan Willa, Sophie dan Joe menyambut kelahiran seorang lagi anak perempuan bernama Delphine.









