PETALING JAYA: ‘Setiap kali kita diam, buli menang.’
Itulah mesej utama di sebalik penganjuran Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025, sebuah persembahan istimewa anjuran Nusavue yang menghimpunkan suara-suara hebat tanah air bagi menyemarakkan keberanian, kasih sayang dan perpaduan dalam menentang budaya buli di semua lapisan masyarakat.
Konsert yang akan berlangsung pada 7 Disember (Ahad), pukul 8.00 malam di Zepp Kuala Lumpur, menampilkan barisan artis tempatan terkenal dari pelbagai genre bersatu di Bawah satu misi: ‘Berani Bersuara, Bersama KITA.’
Lebih daripada sekadar hiburan, Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025 menjadikan muzik sebagai medium perubahan sosial.
Melalui gabungan persembahan berimpak tinggi, mesej berinspirasi dan pengisian interaktif, konsert ini berfokus untuk membangkitkan kesedaran, keyakinan diri dan empati dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar, keluarga dan komuniti.
“Buli bukan sekadar masalah sekolah tetapi ia juga cerminan masyarakat. Kita mahu rakyat Malaysia bangkit bersama dan bersuara,” kata wakil Nusavue, penganjur konsert itu.
Fenomena buli hari ini tidak lagi terbatas kepada individu atau sekolah semata-mata. Ia turut wujud dalam bentuk skala yang lebih besar melibatkan bangsa, komuniti dan juga negara.
Dari dunia maya hingga ke pentas antarabangsa, kuasa sering disalah guna untuk menindas yang lemah. Melalui Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025, Nusavue menyeru rakyat Malaysia untuk menyedari menentang buli bermakna menentang kezaliman dalam apa jua bentuk sama ada di rumah, sekolah atau di dunia luar. Inilah semangat ‘KITA’
Konsert itu bakal menampilkan persembahan luar biasa daripada barisan artis tersohor tanah air di bawah panji Suara Anti Buli, termasuk Datuk Ramli Sarip x Cradle Band, Alpha, Bella Astillah, Nadeera, Wani Kayrie dan Liza Aziz.
Gabungan nama-nama itu melambangkan perpaduan rentas generasi dan genre, membuktikan seni mampu menjadi jambatan untuk menyatukan rakyat dalam perjuangan menentang buli.
Inisiatif itu turut disokong oleh pelbagai rakan strategik, penaja dan organisasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang
berkongsi semangat ‘Suara Anti Buli’:
Tiket Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025 boleh didapati bermula hari ini melalui www.myticketempire.com (Ticket Empire) dan www.nusavue.my.