MELAKA: Manuskrip nama Armada Maluku yang menyenaraikan Enrique De Malaca dipamerkan kepada pengunjung sempena Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique De Malaca@Panglima Awang yang berakhir semalam.
Kurator Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Mohd. Shukry Abdullah berkata, senarai nama tersebut ditemukan hasil misi kerajaan negeri ke Portugal, Sepanyol dan Belanda sebagai usaha meluruskan semula sejarah Melaka.
Beliau berkata, senarai nama berkenaan diperoleh melalui catatan dalam bentuk diari oleh seorang anak kapal bernama Antonio Pigafetta yang menaiki kapal Trinidad bersama Ferdinand Magellan dan Enrique.
“Dokumen asal senarai nama ini berada di arkib Sepanyol. Sebanyak 500 salinan asal telah dikeluarkan pada 2019 sempena ulang tahun ke-500 penjelajahan Ferdinand Magellan mengelilingi dunia.
“Hanya ada satu salinan sahaja di Malaysia dan dimiliki oleh Perzim. Senarai Armada Maluku ini penting kerana membuktikan kewujudan Enrique De Malaca yang berasal dari kepulauan Melayu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Berdasarkan dokumen tersebut, Enrique dikatakan berasal dari Sumatera, bertugas sebagai jurubahasa dan berada di atas kapal Trinidad.
Mohd. Shukry berkata, selain senarai Armada Maluku, Perzim turut mempamerkan wasiat Ferdinand yang menyentuh pembebasan Enrique sebagai hamba selepas kematiannya.
Menurutnya, wasiat tersebut secara jelas menyebut bahawa Enrique bukan mulatto (orang bukan Eropah) dan berasal dari Kota Melaka.
“Dokumen ini telah diteliti oleh ramai pakar dan mereka berpandangan wasiat berkenaan sah secara undang-undang. Ini adalah antara bukti yang menyokong Enrique berasal dari Melaka sebelum dia ditawan dan dibawa ke Portugal pada 1511.
“Pengunjung yang mahu mengetahui kisah Enrique boleh datang ke pameran ini dan kemasukan adalah percuma. Terdapat lima segmen yang mengetengahkan kisah anak watan Melaka menjadi antara insan terawal mengelilingi dunia bersama Ferdinand pada abad ke-16,” katanya. – UTUSAN










