Ardell dakwa terima ugutan, individu tawar sogokan RM5,000 dedah lokasi - Utusan Malaysia

Ardell dakwa terima ugutan, individu tawar sogokan RM5,000 dedah lokasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana mendakwa dirinya menerima ugutan daripada individu tidak dikenali sejurus pulang daripada menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), baru-baru ini.

Menurut Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, bukan sahaja dirinya menjadi sasaran, malah pengurus peribadinya turut diganggu termasuk menerima tawaran sogokan wang tunai sebanyak RM5,000 bagi mendedahkan lokasi pelakon berkenaan.

“Kecaman orang tidak beri kesan pun pada saya. Ada sampai telefon pengurus siap nak upah RM5,000 untuk tahu lokasi saya sahaja. Marah dan paksa dedahkan lokasi. Saya tak kisah dan tak takut pada ugutan itu.

“Saya bukan tak buat sesi siaran langsung bukan sebab saya takut dengan Israel walaupun saya tahu mereka ada tengok.

“Jangan patah semangat dan teruskan berkongsi mengenai Palestin. Kita ada perjuangan seterusnya selepas ini. Saya nampak tekanan dari suara kita buat Israel takut. Kita berani kerana kita benar. Teruskan berkongsi,” katanya menerusi satu sesi siaran langsung malam tadi.

Dalam pada itu, pelakon Asam Pedas Untuk Dia turut memaklumkan bahawa dirinya kini kurang aktif di platform media sosial kerana memberi sepenuh perhatian kepada ibunya yang baru menjalani pembedahan memotong kaki akibat penyakit kencing manis.

“Saya minta maaf sebab saya diam, buat semua risau, Saya okay saja. Lebam sebelum ini pun, sikit saja. Bahu saya bukan patah, tisu saja koyak. Saya okay, tapi lembik sikit. Saya pun tak minta untuk susahkan sesiapa.

“Malam ini saya tak cerita lagi pasal bot (misi pelayaran GSF), saya cerita bahawa saya dalam keadaan baik. Saya masih belum ada rasa nak cerita apa-apa lagi.

“Bagi saya pulih betul-betul dulu dan bagi emak saya sihat sikit sebab emak saya baru potong kaki,” katanya yang turut berkongsi berat badannya semakin susut.

Berkongsi lanjut keadaan ibu, Ardell berharap masyarakat dapat mendoakan wanita syurganya itu yang turut mempunyai masalah sakit jantung di samping sukar untuk makan dan minum.

“Rupa-rupanya emak saya tunggu saya balik untuk buat pembedahan. Saya tak pernah ada pengalaman untukmandikan anggota badan, saya masuk tempat mandi jenazah.

“Sebelum ini saya takut. Saya bersihkan kaki emak saya. Alhamdulillah saya dapat uruskan. PU Rahmat banyak tolong saya dari hospital sampai ke tanah perkuburan.

“Emak saya bukan sakit kencing manis saja, tapi saraf kaki mati dan dia juga ada sakit jantung. Sedih tengok keadaan dia. Saya sebenarnya tak kuat, emak saya yang kuat.

“Sekarang sebelah lagi kaki sudah tunjuk tanda hitam. Sekarang ini emak saya tak boleh makan dan minum, meracau sahaja. Doakan emak saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ardell turut meluahkan rasa terharu atas sambutan luar biasa rakyat Malaysia ketika ketibaan pasukan GSF di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Oktober lalu.

Tambahnya, antara momen paling menyentuh hati adalah apabila menerima hadiah berupa senaskhah al-Quran daripada penyokong yang hadir.

Terdahulu, sesi siaran langsung Ardell menarik perhatian ramai apabila mencatat tontonan melebihi 15.3 juta penonton di media sosial.

Untuk rekod, Ardell merupakan salah seorang daripada 22 peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang turut disertai oleh beberapa selebriti tanah air seperti Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Farah Lee dan Ilya Balqis. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN