Di sebalik wajah manis dan perwatakan lembutnya, boleh dikatakan, pelakon Indonesia Tissa Biani Azzahra bukan calang-calang anak seni.
Muncul dengan filem terbaharu berjudul Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih, pelakon berusia 23 tahun ini sekali lagi mempamerkan sisi matang dalam kerjaya seninya menerusi watak Intan.
Namun di sebalik watak yang penuh emosi itu, Tissa menegaskan bahawa dia tidak pernah mencampur adukkan antara dunia lakonan dan kehidupan sebenar.
“Tidak dinafikan, watak Intan juga mempunyai sisi yang dekat dengan diri saya. Sebagai manusia, kita semua pasti pernah melalui momen seperti yang digambarkan dalam filem ini, sama ada dalam hubungan dengan pasangan, persahabatan, atau ketika kita perlu membuat keputusan penting dalam hidup.
“Kadangkala kita berasa bimbang dan keliru untuk memilih arah, namun pengalaman seperti itulah yang menjadikan kita lebih kuat dan matang. Namun untuk mengaitkan kisah hidup Intan dengan kehidupan sebenar saya tidak boleh juga. Setiap manusia mempunyai pengalaman hidup masing-masing.
“Bagi saya, apa yang digambarkan dalam filem hanyalah sebahagian daripada cerita seni dan tidak mencerminkan kehidupan peribadi. Saya sentiasa berpegang pada prinsip profesional iaitu apa yang diceritakan dalam filem biarlah kekal sebagai kisah filem, manakala kehidupan peribadi tetap saya jaga sebagai ruang peribadi,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Menerusi filem ini, kata Tissa, dia berperanan sebagai seorang seniman pelukis botol yang berjiwa lembut dan penuh warna. Menariknya, meskipun dia bukan berasal daripada suku Sunda, Tissa dituntut untuk bertutur dalam bahasa Sunda sepanjang penggambaran.
“Saya sebenarnya bukan orang Sunda, tetapi orang Jawa. Ketika membintangi filem ini, saya perlu boleh bertutur dalam bahasa Sunda.
“Jadi saya mengikuti bengkel bahasa dan sesi bacaan skrip bersama jurulatih dialog yang mahir supaya saya dapat menguasainya dengan baik. Proses latihan bahasa itu mengambil masa kira-kira tujuh hari, manakala sesi bacaan dan latihan keseluruhan berlangsung selama sebulan,”ujarnya.
‘BUKA PINTU’
Dalam pada itu, ditanya mengenai pandangannya berhubung corak dan langkah pelakon Malaysia yang kini semakin rancak mewarnai dunia seni lakonan di Indonesia, Tissa bagaimanapun mengakui gembira dan menyambut baik perkara itu.
Katanya, ia secara tidak langsung menyaksikan jalinan usahasama yang baik antara Indonesia dan Malaysia dari sudut perfileman dan seharusnya inisiatif itu menjadi satu suntikan yang positif buat kedua-dua buah negara.
“Saya melihat kerjasama antara industri filem Indonesia dan Malaysia semakin berkembang. Ramai pelakon Malaysia kini berlakon di Indonesia seperti Fazura, Anna Jobling dan Bront Palarae.
“Saya gembira dengan peluang yang semakin terbuka luas ini, malah amat menyokong supaya pada masa akan datang lebih ramai pelakon Indonesia juga dapat berlakon di Malaysia,”katanya.
Pada masa yang sama, kata Tissa, dia juga terbuka menerima tawaran lakonan di Malaysia sekiranya bersesuaian dan ia pernah dibuktikan menerusi pembabitannya dalam filem Pendekar Awang.
“Namun, penglibatan saya hanya sedikit sahaja kerana saya berlakon dalam beberapa babak. Tetapi, saya tidak menolak kemungkinan mahu berlakon lebih banyak lagi di Malaysia pada masa akan datang.
“Saya sangat gembira dapat terlibat dalam produksi bersama kru dan pelakon dari Malaysia. Semasa penggambaran Pendekar Awang, kami berada di lokasi selama tiga bulan. Walaupun filem tersebut bergenre aksi dan drama, pengalaman di set penggambaran sangat menyeronokkan.
“Orang-orang Malaysia sangat baik, begitu juga barisan pelakonnya. Hal ini membuatkan saya berhasrat untuk kembali berlakon dalam filem Malaysia lagi,”katanya.
Dalam pada itu, berkongsi cerita berdasarkan pengalaman sendiri, kata Tissa, dia dapat melihat terdapat perbezaan antara kerja lakon di Malaysia dan di Indonesia. Di Malaysia, katanya, genre filemnya agak berbeza.
“Pendekar Awang merupakan filem aksi-drama yang penuh dengan babak aksi dan koreografi. Saya mendapat latihan daripada jurulatih aksi dari Indonesia dan Malaysia yang sangat mahir. Walaupun agak meletihkan, penggambaran tersebut memberikan banyak pengalaman dan kegembiraan,”katanya.-UTUSAN