Anwar sertai 10,000 jemaah Kuliah Subuh Madani

Anwar sertai 10,000 jemaah Kuliah Subuh Madani

ANWAR Ibrahim melihat naskhah Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basr bersama Al-Habib Umar di Masjid Putra, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 10,000 jemaah menghadiri Kuliah Subuh Madani di Masjid Putra di sini, hari ini yang disampaikan ulama terkemuka dari Yaman, Al-Habib Umar Muhammad Salim Ben Hafez.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bersama pada majlis itu yang dimulakan dengan solat subuh berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Abdul Karim Zakaria.

Dalam kuliahnya, Al-Habib Umar membacakan kitab Qomi’ Al-Thugyan ala Manzumah Syu’abil Iman karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar Al-Bantani, yang membicarakan 77 cabang iman merangkumi aspek akidah, akhlak dan syariah.

Perdana Menteri kemudiannya menyerahkan naskhah Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basr kepada Al-Habib Umar.

Penyerahan itu juga sebagai tanda sempurnanya projek 1 Juta al-Quran, yang diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri.

Mushaf berkenaan adalah hasil kerjasama Kerajaan Malaysia, Yayasan Restu, dan Nasyrul Quran di bawah naungan Perdana Menteri, bersama Darul Mustafa, Yaman yang dipimpin Al-Habib Umar.

Ia melambangkan usaha berterusan dalam memartabatkan khazanah seni dan ilmu al-Quran, seiring dengan aspirasi Projek 1 Juta al-Quran.

Mushaf Tarim menampilkan bacaan Qiraat Riwayat ad-Duri, antara 10 riwayat bacaan masyhur dalam tradisi ilmu al-Quran.

Penghasilannya dilakukan oleh lima ahli khat Yayasan Restu sejak 2015, disempurnakan pada 2019 dan diterbitkan sepenuhnya pada 2024.

Mushaf bersaiz A5 itu menonjolkan tulisan khat yang jelas dan indah, dihiasi motif seni Yaman yang melambangkan kesatuan antara rohani dan estetika, sekali gus memperkukuh hubungan sejarah dan dakwah antara Malaysia dan Yaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN