PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak pembangkang yang ‘tidak faham’ berhubung pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) RM600 juta bagi pemuliharaan bangunan warisan di Kuala Lumpur termasuk Carcosa Seri Negara.
Perdana Menteri berkata, usaha itu adalah demi pemuliharaan kepentingan sejarah dan identiti nasional serta peninggalan era silam selain simbol warisan raja-raja Melayu dan perjalanan negara menuju kemerdekaan.
“Dia (pembangkang) tak faham, kita jaga (pulihara) warisan sejarah kekuatan Melayunya dan sejarah kita dari bangunan Carcosa Seri Negara, padang Dataran Merdeka, Kereta Api Tanah Melayu, bangunan Daya Bumi sehingga Carcosa Seri Negara.
“Itu seolah-olah satu taman warisan. Kuala Lumpur itu dikenali sebagai sesuatu yang moden teknologinya tetapi yang segar budayanya dan apabila kita mula labur di situ, akan menarik minat pelaburan lain berkembang di sekitarnya,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang mempersoal langkah kerajaan mengumumkan pelaburan RM600 juta daripada Khazanah Nasional untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah, Carcosa Seri Negara.
Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan langkah itu ‘melencong’ daripada tujuan dan peranan sebenar penubuhan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang sepatutnya mengukuhkan daya tahan ekonomi serta menjana pulangan jangka panjang untuk rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaburan RM60 juta itu bukan wang kebajikan, tetapi pelaburan itu adalah termasuk untuk menjaga kepentingan sejarah.
Pada masa sama, katanya, usaha itu juga amat disenangi Sultan Selangor kerana pemuliharaan itu termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad.
“(Pembangkang) tak faham siapa yang boleh bangunkan begitu besar projek-projek yang menunjukkan kehebatan warisan sejarah dan budaya kita seperti Khazanah atau Petrunas.
“Kerajaan keutamaan dia yang lain-lain lagi. Tetapi kita pantau (Pembangunan itu) tetapi masih ada elemen komersialnya, elemen pelaburannya dan elemen keindahan bagi kota,” katanya.
Anwar berkata, usaha mempertahankan warisan ini bukan soal sejarah dan budaya, tetapi merangkumi kekuatan pelbagai kaum.
“Saya sebut di sini warisan ini kerana soal sejarah dan budaya kita, Melayu kemudian kita rangkul kekuatan kaum-kaum, Melayu terutama Cina, India dan sebab itu, kalau lihat pelan Carcosa Seri Negara itu, setiap biliknya bawa gambaran dan mempamerkan kekuatan budaya kita, segala suku kaum, hasil dalam negeri ini juga satu tarikan kepada pelancong.
“Dan kalau tahu sejarah Carcosa Seri Negara ini, Carcosa itu dianggap bangunan paling hebat, atas bukit di Kuala Lumpur. Carcosa Seri negara ini simbol kemegahan dan bangunan kebanggaan Kuala Lumpur kerana (menjadi) mercu di atas (bukit),” katanya.
Perdana Menteri berkata, biarpun usaha pemuliharan itu dilaksanakan oleh Khazanah, kerajaan masih tetap memantau supaya ada elemen komersial, pelaburan dan keindahan bagi kota raya berkenaan. – UTUSAN