Anna Jobling menang trofi Outstanding Asian Star di Seoul - Utusan Malaysia

Anna Jobling menang trofi Outstanding Asian Star di Seoul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pelakon, Anna Jobling, dinobatkan sebagai penerima trofi Outstanding Asian Star sempena Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 yang berlangsung di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan pada Khamis.

Anugerah berprestij tersebut diraih menerusi lakonannya dalam drama bersiri Hai Cinta, Dengarkanlah! sekali gus mengangkat martabat industri seni tempatan apabila majlis anugerah berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran SBS TV.

Anna atau Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, menyifatkan kemenangannya itu sebagai hadiah buat rakyat Malaysia dan peminat yang menyokong kerjayanya.

“Saya benar-benar terharu dan amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Terima kasih kepada Seoul International Drama Awards kerana membuka ruang untuk Malaysia bersinar di pentas antarabangsa.

“Kemenangan ini sangat bermakna kerana ia bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk seluruh peminat, keluarga serta pasukan produksi yang tidak pernah berhenti menyokong saya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tonton dan TV3 kerana sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan seni saya. Trofi ini adalah kebanggaan bersama, hadiah istimewa yang saya bawa pulang untuk Malaysia,” katanya.

Selain Anna, anugerah Outstanding Asian Star turut dimenangi oleh beberapa nama besar dari rantau Asia antaranya Kim Seon Ho (Korea Selatan) menerusi The Tyrant, Jisoo (Korea Selatan) menerusi Newtopia, Kentaro Sakaguchi (Jepun) menerusi Beyond Goodbye, Yu Bai (China) menerusi Bank on Me, Rachanun Mahawan (Thailand) menerusi Pluto, dan Daniel Padilla (Filipina) menerusi Incognito.

Drama Hai Cinta, Dengarkanlah! mengisahkan tentang seorang wanita bernama Cahaya yang kehilangan suami semasa hari ulang tahun perkahwinan mereka. Dia berusaha membesarkan anak lelakinya Hakimi dan Adib sendirian. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN