LUMUT: Kerjasama Jabatan Perikanan Perak dan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menghasilkan rampasan bernilai lebih RM3.5 juta iaitu yang terbesar direkodkan di negeri ini bagi tahun ini.
Rampasan itu melibatkan dua buah vesel, 666 bubu naga serta dua set galah rawa sorong dalam operasi yang bermula dari 13 hingga 16 Oktober 2025.
Pengarah Perikanan Perak, Mohd. Ghazali A. Manap berkata, operasi tersebut dibahagikan kepada dua sektor pengoperasian iaitu operasi perairan pantai barat dan operasi pemeriksaan di jeti nelayan sekitar Panchor di Pantai Remis dekat sini.
“Tangkapan kedua-dua vesel Zon C tersebut berlaku di perairan 10.9 batu nautika dari Pulau Buluh, Kepulauan Sembilan. Vesel tersebut ditahan semasa sedang menjalankan operasi menunda oleh sembilan orang kru warga asing dari Myanmar.
“Pemeriksaan dijalankan dan mendapati vesel tersebut telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Ghazali berkata seramai sembilan warganegara Myanmar yang merupakan kru vesel berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata rampasan membabitkan bubu naga serta dua set galah rawa sorong dilakukan sekitar pangkalan jeti nelayan sekitar Panchor.
Tambahnya rampasan dibuat berdasarkan kesalahan di bawah peraturan-peraturan Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 dan Peraturan 2 di dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1982 iaitu menggunakan peralatan yang dilarang seperti bubu naga dan rawa sorong.
Sementara itu, Jabatan Perikanan Perak mahu mewujudkan beberapa santuari atau kawasan pelindungan bagi melindungi spesies ikan-ikan sungai yang semakin berkurangan.
Ghazali berkata, usaha itu akan dibuat sebaik sahaja pindaan Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 diluluskan kerajaan negeri dan antara ikan yang menjadi fokus pihaknya untuk dilindungi bagi mengelakkan kepupusan ialah Kelisa Emas, Kelah dan Temoleh.
Katanya, cadangan lokasi santuari termasuklah di Sungai Perak, Kuala Kangsar dan Kampung Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan dengan kawasan pelindungan itu akan terbahagi mengikut zon termasuk merah yang melarang sebarang aktiviti tangkapan ikan. – UTUSAN










