PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyemak semula terma dan pelaksanaan Kursi Pengajian Melayu di universiti luar negara bagi memastikan fungsi asalnya benar-benar tercapai dalam memperkukuh peranan bahasa Melayu dan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, semakan itu penting bagi memastikan kursi berkenaan bukan sekadar simbolik, sebaliknya berfungsi secara aktif dalam memperkenalkan pengajian berkaitan bahasa, kesusasteraan dan budaya Malaysia kepada pelajar asing.
Menurut beliau, penyandang Kursi Pengajian Melayu juga perlu memainkan peranan sebagai duta akademik negara yang memperluas pemahaman terhadap Malaysia melalui pendidikan dan diplomasi budaya.
“Kita mahu memastikan kursi-kursi ini berfungsi dengan sebaik-baiknya dan mencapai matlamat negara.
“Mereka yang dihantar ke sana bukan sekadar ahli akademik, tetapi menjadi wakil negara yang memperkenalkan pengajian Melayu dan pengajian Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu tahun 2025, di sini Selasa lalu.
Dr. Zambry berkata, semakan itu turut mengambil kira beberapa kursi sedia ada seperti di Universiti Ohio, Amerika Syarikat yang telah beroperasi lebih 20 tahun, namun pada masa tertentu tidak berfungsi secara optimum.
Selain Amerika Syarikat, kursi pengajian Melayu dan Malaysia turut diwujudkan di beberapa universiti ternama di China, Korea Selatan, New Zealand dan Belanda.
Berhubung penganjuran Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu, seramai 11 orang ahli akademik Universiti Awam daripada pelbagai bidang kepakaran telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Akademik Bahasa Melayu (ATABM) sejak ia mula diperkenalkan.
Untuk tahun 2025, penerima Anugerah Terbaik ATABM ialah Prof. Madya Dr. Norliza Jamaluddin, seorang pensyarah yang telah berkhidmat selama lebih dua dekad di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Beliau telah memberikan komitmen luar biasa dan kecemerlangan yang konsisten dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kepakaran beliau dalam bidang Sintaksis, Morfologi, Semantik, Wacana dan Linguistik Korpus telah diserlahkan melalui penerbitan puluhan artikel jurnal, buku ilmiah dan pembentangan kertas kerja, sekali gus memperkukuh kedudukan beliau sebagai ilmuwan yang disegani dalam lapangan bahasa.
Dalam usaha menggalakkan penglibatan ahli akademik untuk memartabatkan bahasa Melayu, KPT turut memberi laluan dan peluang pengiktirafan kepada pensyarah-pensyarah muda UA.
Malah, peluang ini diperluas kepada pensyarah di Politeknik dan Kolej Komuniti melalui penganugerahan dua kategori lain iaitu Anugerah Harapan Akademik Bahasa Melayu dan Anugerah Sektor Teknikal Bahasa Melayu.
Bersempena tahun ke-6 penganugerahan bagi dua kategori ini, Anugerah Harapan Akademik Bahasa Melayu pada tahun ini dimenangi Prof. Madya Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) manakala Ts. Nor Mahani Md Rasidi dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sektor Teknikal Bahasa Melayu.
Mengulas mengenai pencapaian Anugerah Terbaik Akademik Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Norliza menyifatkan pengiktirafan itu bukan sekadar penghormatan peribadi, tetapi sebagai tanggungjawab besar untuk terus memperjuangkan kedudukan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, sumbangannya dalam memperluas pengajian bahasa Melayu di luar negara menjadi antara faktor utama yang melayakkan beliau menerima anugerah berkenaan.
“Sebagai ahli akademik, tugas kami bukan sahaja dalam pendidikan dan penerbitan, tetapi juga dalam memperluas pengaruh bahasa Melayu di luar negara. Saya mula terlibat sejak di Uzbekistan, dan Alhamdulillah kini telah tertubuh Pusat Bahasa Melayu di sana,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah berkenaan.
Dr. Norliza yang juga Konsultan Bahasa Melayu di Kuliah Pendidikan Singapura sejak 12 tahun lalu turut menjadi jurulatih tatabahasa di Pusat Bahasa Melayu Singapura.
Beliau turut menjalankan penyelidikan unik mengenai pengajaran bahasa Melayu oleh tentera Jepun sebelum Perang Dunia Kedua, iaitu satu bidang yang jarang diterokai.
“Kajian itu membuka penemuan baharu kerana bahan-bahan asalnya disimpan di Jepun. Dengan kerjasama sahabat-sahabat di sana, saya berpeluang menerbitkan manuskrip berkaitan, malah akan membentangkan dapatan kajian tersebut minggu ini,” katanya.
Luaskan Pengajian ke SOAS London
Dalam perkembangan terbaharu, Dr. Norliza memaklumkan beliau juga dihantar ke School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, pada tahun 2024 bagi memperkenalkan pengajian bahasa Melayu di universiti tersohor itu.
Walaupun hanya berada di sana selama enam bulan, beliau berjaya memperoleh geran pendidikan berjumlah RM10,000, yang kini dimanfaatkan bagi pembangunan modul khas bahasa Melayu di SOAS.
“Insya-Allah, menjelang tahun 2027, pengajian bahasa Melayu akan diperkenalkan secara rasmi di SOAS dengan 15 jam pembelajaran seminggu. Ini saya anggap kejayaan besar untuk Malaysia,” katanya dengan penuh harapan.
Dalam pada itu, penerima Anugerah Harapan Akademik Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Muhammad Abd. Hadi Bunyamin dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya sebagai satu penghormatan besar terhadap perjuangan dan kecintaannya terhadap bahasa kebangsaan sejak di bangku sekolah rendah.
Menurut beliau, bahasa Melayu bukan sekadar medium komunikasi, tetapi lambang jati diri dan jiwa bangsa yang perlu disemai sejak kecil agar terus subur dalam sanubari rakyat Malaysia.
Dr. Muhammad Abd. Hadi berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan bersifat menyeluruh yang menilai peranan akademik bukan sahaja dalam bidang pengajaran dan penyelidikan, tetapi juga sumbangan kepada masyarakat melalui bahasa Melayu.
Beliau aktif membuat penampilan di beberapa platform media bagi membicarakan isu-isu bahasa, pendidikan dan masyarakat, semuanya menggunakan bahasa Melayu sebagai wahana utama komunikasi ilmiah dan budaya.
Bahasa sebagai lambang cinta dan perpaduan
Menurut Dr. Muhammad Abd. Hadi, keindahan bahasa Melayu bukan hanya terletak pada struktur atau kosa katanya, tetapi pada nilai budi dan kesantunan yang membentuk akhlak penuturnya.
“Bahasa Melayu ialah bahasa yang mengajar kita beradab, bertimbang rasa dan menghormati orang lain. Jika bahasa ini dijaga dengan baik, maka masyarakat juga akan beradab dan bersatu.
“Kita harus mendidik generasi muda untuk mencintai bahasa ini bukan kerana paksaan, tetapi kerana kefahaman bahawa bahasa Melayu adalah nadi bangsa dan jiwa negara,” katanya.
Dr. Muhammad Abd. Hadi berharap anugerah yang diterimanya dapat menjadi pembakar semangat kepada warga akademia muda untuk terus berbakti melalui bahasa dan ilmu, demi mengekalkan maruah serta keunggulan bahasa Melayu di persada dunia. – UTUSAN