PATTANI (THAILAND): Seorang anggota Polis Peronda Sempadan maut dalam pertempuran di Institut Attarbiyadul Hadizah di Kampung No 4, Mukim Bang Kao, Daerah Saiburi di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu,Sarjan Mejar Somsak Naksen yang mengetuai Unit Pemusnah Bom (EOD) Balai Polis Saiburi maut selepas tembakan yang dilepaskan oleh suspek tepat mengenai dadanya. Turut maut dalam pertempuran itu seorang anggota kumpulan pemisah.
Jurucakap polis daerah berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat daripada penduduk tempatan selepas mendengar bunyi letupan di belakang sekolah agama itu pada pukul 11.10 pagi, kelmarin.
Katanya, susulan itu sepasukan anggota dihantar ke sekolah berkenaan untuk menjalankan siasatan pada pukul 3 petang semalam.
“Dalam operasi pukul 3 petang semalam, pihak berkuasa menahan seorang suspek bersenjata yang juga mempunyai waran tangkap. Beberapa lagi suspek dipercayai anggota kumpulan pemisah melarikan diri ke dalam pondok di kawasan sekolah agama itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap itu berkata, pada pukul 5.30 petang, pihak berkuasa mengepung dan memindahkan semua pelajar dari kawasan berkenaan bagi memudahkan operasi penangkapan dijalankan.
Katanya, semasa operasi itu seorang suspek bertindak melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah pondok.
“Pihak berkuasa mematuhi prosedur yang ditetapkan dengan mengadakan rundingan dengan suspek yang turut disertai guru agama. Bagaimanapun, ketika anggota polis memeriksa sebuah bilik, suspek cuba melarikan diri sambil melepaskan tembakan menggunakan rifal M16 yang kemudian mengenai Sarjan Mejar Somsak,” ujarnya.
Jurucakap itu berkata, Komander Polis Wilayah 9, Leftenan Jeneral Piyawat Chalermsri mengarahkan operasi besar-besaran dilakukan setelah menerima maklumat bahawa kawasan itu berfungsi sebagai kem latihan dan tempat persembunyian anggota kumpulan pemisah. – UTUSAN











