KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menyasarkan untuk mengurus sekurang-kurangnya 80,000 jemaah umrah menjelang 2026, menerusi pelancaran Kempen October Deals 2025.
Ahli Lembaga Pengurusan Andalusia, Izzati Ibrahim berkata, kempen tersebut diadakan bagi menamatkan baki lebih 15,000 tempat duduk penerbangan yang masih tersedia sehingga April 2026.
Menurutnya, kempen tersebut bertujuan membantu umat Islam merebut peluang menunaikan umrah pada musim 1447 Hijrah hingga 1448 Hijrah.
“Kempen itu bermula dari 17 hingga 20 Oktober dan dilaksanakan serentak di empat lokasi utama iaitu MATTA Muslim Travel Fair (Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur), Go Travel Expo (Mid Valley), Pejabat Desa Pandan serta semua 62 cawangan Andalusia di seluruh Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar sempena program Go Travel Expo di sini, semalam.
Izzati berkata, Andalusia sentiasa meletakkan jemaah sebagai keutamaan dalam memastikan servis yang diberi adalah terbaik
Katanya, Andalusia menyediakan khidmat lengkap daripada kursus persiapan, urusan visa, mutawif berpengalaman hingga pemantauan selepas ibadah dan turut menyediakan cenderahati eksklusif buat 1,000 pelanggan pertama.
“Kami akan memberi cenderahati seperti baju edisi khas dan bagasi miniatur kepada 1,000 pelanggan pertama sepanjang tempoh promosi berkenaan.
“Inilah yang membezakan kami, bukan sekadar menjual pakej tetapi membimbing jemaah sepenuhnya dari mula sampai akhir perjalanan bagi memastikan pelanggan mendapat layanan servis yang terbaik dan memuaskan,” katanya
Beliau berkata, Andalusia kini bergerak ke arah pendigitalan menyeluruh meliputi sistem pendaftaran, pembayaran dan pangkalan data jemaah, bagi memastikan setiap urusan ibadah menjadi lebih mudah, pantas dan selamat.
“Melalui langkah ini, setiap transaksi menjadi lebih telus, selamat dan pantas, sekali gus mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap agensi umrah tempatan,” katanya. – UTUSAN










