Amir Masdi enggan 'asal buat' konsert

Amir Masdi enggan ‘asal buat’ konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Amir Masdi, 29, memaklumkan hanya akan mengadakan konsert apabila dia benar-benar bersedia.

Katanya, hal itu kerana dia enggan peminatnya kecewa dengan konsert yang bersifat ‘asal buat’.

“Konsert bukan mengenai wang semata-mata, tetapi juga tentang kepuasan penonton. Kita kena beri sebab kenapa orang kena datang ke konsert kita.

“Penonton pula bukan sekadar mahu mendengar penyanyi itu menyanyi dengan baik secara live. Mereka juga mahu melihat persembahan yang bagus.

“Jadi, kalau boleh biarlah saya adakan konsert ketika saya bersedia sebab saya mahu bersikap adil. Saya tak mahulah peminat pulang daripada menonton persembahan saya dengan rasa kecewa,” katanya.

Dalam masa yang sama, penyanyi yang terkenal dengan lagu Sengaja itu mengakui kepentingan untuk dia menghasilkan album sebagai persediaan sebelum mengadakan konsert.

“Konsert antara faktor kenapa saya mahu menghasilkan album. Setidaknya, saya tidaklah menyanyi lagu orang lain apabila berpeluang mengadakan konsert satu hari nanti.

“Memang ada peminat yang tak kisah apabila penyanyi kegemaran mereka menyanyikan lagu orang lain. Tapi dalam masa yang sama mereka juga pasti lebih teruja kalau penyanyi itu menyanyikan lagu sendiri.

“Kalau boleh saya mahu peminat kenang saya sebagai Amir Masdi, bukan penyanyi yang terlalu kerap menyanyikan lagu penyanyi lain,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN