Ambil peluang bincang konflik global khasnya Gaza

Ambil peluang bincang konflik global khasnya Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran kua­sa besar berpengaruh ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur bakal membawa dimensi berbeza kepada rantau ini sekali gus mampu menyerlahkan suara Malaysia sebagai pengerusinya.

Kehadiran ketua negara dari Amerika Syarikat (AS), Kanada, China, Korea Selatan, Jepun, Russia, Eropah, Timur Tengah, Amerika Latin, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan membuktikan diplomasi Malaysia di tahap tertinggi.

Pensyarah Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebang­saan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, semua negara yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 kali ini ada kepentingan tersendiri kepada Malaysia dan rantau ini.

Sebagai contoh, katanya, Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan adalah anggota BRICS sebuah blok ekonomi baharu besar yang kini amat berpengaruh.

“Semua yang hadir adalah kuasa besar sebenarnya malah sebahagian negara tersebut me­rupakan ahli G7 (Kumpulan Tujuh) seperti Eropah, Kanada dan Amerika Syarikat.

“Seperti Brazil, sebuah negara besar walaupun jauh dari Malaysia tetapi mempunyai pengaruh kuat dan mereka senada dengan kita dalam isu Palestin. Kehadi­ran mereka ini membawa suara daripada blok-blok berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia.

SALAWATI MAT BASIR

Beliau berkata, jemputan kepada pelbagai negara berlatar belakang berbeza antara lain menunjukkan Malaysia sebuah negara berkecuali sekali gus mencerminkan dasar kepusatan ASEAN.

“Kita mengimbangi keama­nan serantau pada masa sama tidak menyekat hubungan luar negara ahli. Ini keunikan ASEAN. Walaupun pendirian kita mungkin berbeza dalam sesuatu isu tetapi kita tidak mencampuri dasar luar masing-masing dan menghormatinya,” katanya.

Menyuarakan pandangannya membabitkan kehadiran Presi­den AS, Donald Trump ke Sidang Kemuncak kali ini, Salawati berkata, ini peluang besar yang tidak boleh dilepaskan Malaysia untuk menyatakan pendirian khususnya membabitkan isu-isu kemanusiaan seperti di Gaza.

Katanya, walaupun ia mungkin tidak mengubah nasib rakyat Palestin di Gaza dalam sekelip mata, sekurang-kurangnya pendirian itu disuarakan terus secara bersemuka.

“Kita perlu realistik dalam hal ini, kehadiran Trump ke Malaysia memberi kelebihan kepada kita untuk bersuara dalam isu-isu berbangkit seperti tarif timbal balik dan Gaza. Sebelum ini kita hanya suarakan pendirian di platform lain tetapi kini ada ke­sempatan bercakap secara bersemuka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN