Aliff Aziz buka buku baharu, bangkit perbaiki kehidupan

Aliff Aziz buka buku baharu, bangkit perbaiki kehidupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, 34, memaklumkan dia enggan terus mengenang dan mahu menutup semua episod hitam yang menyinggah dalam kehidupannya sebelum ini.

Malah katanya, sudah masanya dia bangkit meneruskan kehidupan dan membina semula kerjaya seninya tanpa perlu mengambil pusing pandangan negatif masyarakat.

“Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan saya sekarang. Saya bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang baik.

“Memanglah, ada masanya kita akan lalui fasa dimana kita tak jumpa jalan keluar (dari masalah), ibaratnya dunia jadi gelap gelita.

“Sebenarnya, setiap yang berlaku kepada saya sebelum ini adalah ujian. Cuma persoalannya adakah ujian itu membuat kita berputus asa? Sekarang ini saya cuma nak bangkit dan baiki kehidupan saya. Dan saya tahu proses ini akan ambil masa.

“Apa pun yang berlaku, Alhamdulillah, saya masih lagi ada di sini. Meskipun ramai yang menjangkakan kehidupan saya akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Aliff ditemui pada sidang media Festival Havoc Trio 2025 di PWTC petang tadi.

Penyanyi lagu Sayang Sayang itu bagaimanapun mengelak daripada memberi kenyataan mengenai hubungan dengan bekas isteri dan anak-anak.

“Hal berkaitan anak ini sebenarnya sensitif diperkatakan. Jadi saya kalau boleh tak mahu komen mengenainya kerana enggan kenyataan saya kelak disalah tafsir masyarakat.

“Saya terima semua pandangan. Tapi yang saya perlukan sekarang ini hanyalah doa yang baik-baik sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aliff mengakui dirinya kini semakin matang dalam menghadapi komen-komen negatif yang sering diterimanya di media sosial.

“Saya tidaklah terlalu teliti dalam membaca komen netizen kerana sekarang ini, apa sahaja yang saya kongsikan di media sosial pastinya mengundang pelbagai reaksi termasuklah yang negatif.

“Saya ambil manfaat pandangan yang baik-baik, yang tak elok itu saya tak simpan, apatah lagi ambil hati setelah membacanya,” kongsinya lagi.

Untuk rekod Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah namun rumah tangga mereka ternoktah selepas anak kelahiran Singapura itu ditangkap khalwat dengan pelakon Ruhainies.

Hasil perkongsian hidup, Aliff dan Bella dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN