SHAH ALAM: Pasangan suami isteri yang juga doktor kesihatan dan kecantikan dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melanggar Akta Kaunselor berkaitan penganjuran program motivasi rumah tangga, eHati pada tahun lalu.
Tertuduh, Shazifh Osman, 38, dan Munira Hishamshah, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah membuat selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin dan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Kedua-dua tertuduh dipercayai bertindak sebagai fasilator bagi penganjuran program berkenaan dan mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah menjalankan satu kesalahan di bawah amalan sebagai kaunselor yang berdaftar di dewan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Seksyen 15 di sini, antara 27 hingga 30 September tahun lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 (1) (a) Akta Kaunselor 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM30,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mencadangkan kos jaminan masing-masing RM10,000 selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan, namun peguam Alhirzan Mahamad Akhir memaklumkan kedua-dua anak guamnya hanya mampu membayar RM3,000. – UTUSAN










