PETALING JAYA: Akauntan yang gagal memelihara integriti berpotensi menjadi penyumbang kepada rasuah dan penyelewengan dalam organisasi.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd. Azwan Ramli, cabaran profesion itu semakin kompleks apabila terdapat peningkatan kes siasatan yang melibatkan individu dalam bidang perakaunan.
“Terdapat kes di mana akauntan sendiri menyalahgunakan pengetahuan mereka untuk memanipulasi rekod kewangan dan menyembunyikan salah laku pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perkongsian khas bertajuk How Future Accountants Can Stop Corruption bersama pelajar Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di INTEC Education College di Shah Alam, semalam.
Tambah beliau, siasatan SPRM sebelum ini turut mendedahkan bagaimana amalan ‘perakaunan kreatif’ boleh dijadikan alat penipuan sekiranya disalah guna, sekali gus mencemarkan imej profesion akauntan itu sendiri.
Katanya, nilai integriti perlu dijadikan asas kepada setiap keputusan dan tindakan dalam organisasi, kerana kejujuran seorang akauntan menentukan tahap kepercayaan terhadap keseluruhan institusi yang diwakilinya.
“Jika akauntan goyah dalam integriti, keseluruhan struktur tadbir urus akan terjejas. Akauntan perlu sedar mereka bukan sekadar pengira angka, tetapi penjaga amanah kewangan sesebuah organisasi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Institusi dan Pemegang Taruh INTEC, Prof. Dr. Nor Bahiyah Omar, berkata, program yang dianjurkan merupakani usaha memperkukuh kerjasama dengan agensi luar dalam memperluaskan kesedaran integriti dan nilai antirasuah dalam kalangan pelajar.
Katanya, penganjuran program itu juga diharap dapat membuka minda generasi akauntan muda tentang tanggungjawab sebenar mereka apabila melangkah ke alam pekerjaan.-UTUSAN










