PETALING JAYA: Modus operandi sindiket penipuan dalam talian atau scammer yang sentiasa berubah dan semakin sofistikated termasuk kewujudan akaun keldai menyukarkan untuk pengesanan dan tindakan penguatkuasaan diambil.
Keadaan ini menyebabkan sindiket penipuan dalam talian mengaut keuntungan sebanyak RM3.1 bilion bagi tempoh 19 bulan sepanjang tahun 2024 hingga Julai lalu.
Pengarah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sindiket beroperasi merentasi sempadan negara turut menimbulkan cabaran besar daripada segi siasatan dan pendakwaan kerana melibatkan pelbagai bidang kuasa serta undang-undang berbeza.
“Keadaan ini menjadikan siasatan dan pendakwaan lebih rumit selain penggunaan akaun keldai (mule account) yang menyukarkan pengesanan dalang sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Akaun keldai berlaku apabila penjenayah memperdaya seseorang untuk membenarkan akaun bank orang lain digunakan bagi tujuan memindahkan wang haram.
Dalam pada itu, Rusdi berkata, pihak polis sukar melakukan pendakwaan kepada sindiket penipuan ini kerana pelbagai kekangan teknikal dan perundangan.
“Antaranya termasuk kesukaran mengesan pelaku utama yang menggunakan identiti palsu serta beroperasi di luar negara. Selain keterbatasan bukti digital yang melibatkan transaksi merentasi pelbagai platform kewangan merentas negara.
“Proses siasatan yang memerlukan pengesahan maklumat daripada institusi kewangan dan pihak berkuasa luar negara turut memanjangkan tempoh penyelesaian sesuatu kes,” katanya.
Katanya, jenayah penipuan ini juga sukar diatasi sekiranya kekurangan kesedaran orang awam, terutama terhadap bentuk penipuan digital yang baharu.
Ditanya sama ada undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu, Rusdi berkata, undang-undang seperti Kanun Keseksaan, Akta Jenayah Komputer dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah memadai.
Katanya, namun beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan antaranya penyelarasan lebih efektif antara agensi penyiasat dan pendakwaan.
“Prosedur siasatan digital perlu diselaraskan selain kemahiran forensik digital dalam kalangan pegawai penyiasat ditingkatkan. Kami (polis) juga perlu memperkasakan mekanisme kerjasama rentas sempadan,” katanya.
Rusdi berkata, kerjasama antarabangsa diperkukuh merangkumi kerjasama strategik dengan Polis Antarabangsa (Interpol), Polis Asean (ASEANAPOL) serta agensi penguatkuasa dari Taiwan, Kemboja, China, Hong Kong dan Thailand.-UTUSAN










