Air Space Sandbox pertama di Perlis

Air Space Sandbox pertama di Perlis

HAZRY Desa melakukan kerja-kerja penyelidikan mengenai dron termasuk teknologi-teknologi terkini pesawat tersebut yang semakin berkembang pesat di Pusat Kecemerlangan Pesawat Tanpa Pemandu (COE-UAS) Unimap di Kangar, Perlis semalam. – MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pembangunan Air Space Sandbox di kawasan seluas kira-kira 30 hektar di Su­ngai Batu Pahat, di sini dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua tahun akan datang.

Fasiliti tersebut bakal berfungsi sebagai ruang ujian selamat, terkawal bagi pengujian, pengesahan serta perakuan penerbangan dron altitud rendah jarak jauh (BVLOS), teknologi mobiliti udara generasi baharu dan sistem pengurusan trafik udara tanpa pemandu (UTM).

Ketua Pusat Kecemerlangan Pesawat Tanpa Pemandu (COE-UAS), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Dr. Hazry Desa berkata, kemudahan berkenaan bukan sekadar ruang untuk pe­ngujian pelbagai jenis dron, tetapi merangkumi satu ekosistem menyeluruh bagi penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kawalan trafik udara tanpa pemandu, pemantauan situasi udara serta pengurusan data penerbangan dron secara masa nyata.

Beliau yang mengetuai pembangunan projek itu berkata, fasiliti berkenaan akan dilengkapi sistem radar, telekomunikasi, stesen kawalan darat, simulator, koridor penerbangan ujian dan infrastruktur digital yang membolehkan integrasi antara pelbagai jenis pesawat tanpa pemandu secara selamat.

“Projek ini berkonsepkan vertiport atau lapangan terbang menegak iaitu satu model masa depan bagi operasi urban air mobility (UAM) dan dron kargo. Apabila beroperasi kelak, Air Space Sandbox akan menjadi platform utama untuk industri dan penyelidik menguji dron berskala besar di dalam aerodrome model fungsian (functional mock-up aerodrome) yang dikawal,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi bidang Aeronautik, dengan sebahagian peruntukan tersebut disalurkan kepada pembangunan projek Air Space Sandbox yang dike­tuai oleh Unimap.

Hazry berkata, pemilihan Sungai Batu Pahat sebagai lokasi pembangunan dibuat selepas mengambil kira faktor demografi dan geografi kawasan yang tidak padat penduduk serta dikelilingi kawasan pertanian dan sawah padi, sekali gus menjamin keselamatan awam semasa fasa ujian penerbangan dijalankan.

Selain itu, katanya, kawasan Sungai Batu Pahat juga mempunyai sejarah penerbangan apabila pernah digunakan sebagai landasan microlight yang diluluskan oleh pihak Penerbangan Awam Malaysia pada era 80-an.

“Selain kawasan daratan di Sungai Batu Pahat, kita juga bercadang menjadikan perairan sekitar Kuala Perlis sebagai pusat ujian tambahan khususnya bagi pengujian dron berkapasiti besar dan operasi penerbangan berisiko rendah di kawasan laut terbuka berkenaan. Lokasi tersebut turut dikenal pasti sebagai zon selamat dan strategik untuk tujuan penyelidikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN