Adilkah Ahli Parlimen dapat elaun RM25,000, doktor RM9.16?

Adilkah Ahli Parlimen dapat elaun RM25,000, doktor dapat RM9.16?

SEKUMPULAN pegawai perubatan kontrak menyertai hartal doktor kontrak yang diadakan di HTJ, Seremban, Julai lalu. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartal Doktor Kontrak (HDK) mendesak kerajaan meluluskan dan memperjuangkan kadar kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) kepada RM25 per jam berbanding RM9.16/jam dalam Belanjawan 2026.

HDK berkata, golongan doktor di negara ini dipaksa menerima kadar bayaran yang rendah sejak sedekad lalu dan tidak pernah berubah sejak 2021.

“Mereka terpaksa bersengkang mata bekerja lebih 33 jam, demi menyelamatkan nyawa pesakit sehingga diri sendiri terabai. Namun jika dibandingkan, Ahli Parlimen dapat menikmati kadar elaun yang sangat tinggi, difahamkan pada kadar minimum berjumlah RM25,000 sebulan.

“Jumlah ini bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan kadar yang diterima oleh doktor, yang bersabung nyawa menyelamatkan pesakit.

“Kami menyeru semua Ahli Parlimen dan wakil rakyat yang memegang kuasa dan kredibiliti dalam membahas dan meluluskan Rang Undang-Undang Belanjawan 2025, untuk mendukung hasrat dan usul bagi menaikkan kadar bayaran elaun itu kepada kadar baharu RM25/jam,” katanya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, HDK berkata, elaun Ahli Parlimen yang diterima adalah 733 peratus lebih tinggi daripada purata pendapatan rakyat.

Sedangkan, katanya, doktor terpaksa bekerja selama hampir 33 jam sehari tanpa sesaat melelapkan mata, ada kalanya berkorban cuti hujung minggu semata-mata tuntutan tugas atas panggilan, namun kadar upah yang diterima jauh dari setimpal.

“Tugas kami tetap mempertahankan nyawa dan kesejahteraan pesakit, walau apa pun yang diperlukan, dari pembedahan hinggalah ke penjagaan di wad. Namun, pengorbanan ini tidak mendapat kadar upah yang setimpal,” katanya.

Dalam pada itu, HDK melancarkan petisyen berkenaan bagi memperjuangkan nasib semua doktor di hospital dan klinik kesihatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN