PUTRAJAYA: Seramai 8.8 juta penerima akan menerima bayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR)2025 bermula esok lebih awal daripada jadual asal iaitu pada pertengahan bulan depan sebelum perayaan Deepavali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi fasa ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion, dengan kadar bayaran sehingga RM700 yang ditetapkan mengikut kategori.
Katanya, jumlah ini termasuk 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan bayaran Fasa 4 STR, yang mana penyaluran akan dibuat mulai 13 November depan.
“Berbanding Fasa 1 pada Januari 2025, jumlah penerima Fasa 4 meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah, daripada 8.3 juta susulan keputusan kerajaan untuk membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun.
“Tekad kerajaan adalah untuk memastikan bantuan yang melibatkan agihan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.
“Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus membuka pendaftaran STR dan SARA 2026 sepanjang
tahun agar lebih ramai rakyat berpeluang mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
Menerusi pengumuman Belanjawan MADANI Keempat pada 10 Oktober 2025, peruntukan keseluruhan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencecah RM15 bilion bagi tahun 2026.
Bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan bersama data daripada agensi-agensi berkaitan untuk semakan kelayakan STR dan SARA 2026 mengikut syarat yang ditetapkan.
“Pendekatan ini turut mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan terus sampai kepada golongan sasar,” katanya.
Menurut MOF, pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama.
MOF turut mengingatkan penerima STR agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.
Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp. – UTUSAN











