70,000 al-Quran tanpa perakuan KDN berjaya ditukar, dapat pengiktirafan MBOR

70,000 al-Quran tanpa perakuan KDN berjaya ditukar, dapat pengiktirafan MBOR

PK KDN menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan pertukaran 70,000 al-Quran tanpa perakuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (PK KDN) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan menempa rekod pertukaran al-Quran terbesar di negara ini.

Kejayaan itu atas inisiatif pertukaran sejumlah 70 000 naskhah al-Quran yang tiada perakuan KDN telah ditukar ganti dengan al-Quran baharu yang mempunyai perakuan KDN sehingga kini.

Menurut KDN, usaha itu adalah melalui program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) sejak 2023 yang mana pameran dan kaunter dibuka kepada masyarakat untuk datang secara sukarela menukar al-Quran dimiliki yang tiada perakuan kepada al-Quran yang ada perakuan KDN secara percuma.

Katanya, kejayaan mendapat pengiktirafan itu antara inisiatif-inisiatif usaha pemeliharaan al-Quran oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al Quran (LPPPQ).

Antara inisiatif lain ialah sebanyak 1,036 Pruf Akhir Teks Al-Quran telah diperakukan betul oleh LPPPQ untuk dicetak dan berada dalam komuniti di negara ini.

“Selain itu ialah penghargaan kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang memberikan kuasa kepada PK KDN bagi menjalankan penguatkuasaan berkaitan dengan Al-Quran di negeri-negeri berkenaan.

“Peluncuran Akaun Amanah Kemajuan Pembangunan dan Pemuliaan Al Quran, PK KDN serta penyerahan Projek Hibah JEQ.,” katanya di sini semalam.

KDN berkata, akaun amanah ini bakal menjadi wadah bagi pengumpulan dana khas daripada pelbagai pihak untuk usaha-usaha berkaitan dengan pemartabatan kesucian al-Quran.

Katanya, Modul Profesionalisme Panel Semakan Al-Quran (ProQuran) dilancarkan hasil gabungan kepakaran dan penerokaan cabang-cabang perundangan oleh PK KDN dan Lajnah Tashih Al-Quran yang diperakukan oleh LPPPQ.

“ProQuran ini bertujuan meningkatkan kualiti perunding al-Quran yang dilantik oleh industri pencetakan atau penerbitan al-Quran.

“Pelancaran inisiatif berasaskan teknologi AI iaitu Sistem Semakan Al-Quran Pintar (iTAQ) bertujuan menjadikan proses pencetakan atau penerbitan al-Quran yang tepat dan pantas seiring dengan proses semakan al-Quran menggunakan iTAQ,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN