624 hektar padi Wilayah III MADA tenggelam banjir, rugi lebih RM4 juta

624 hektar padi Wilayah III MADA tenggelam banjir, rugi lebih RM4 juta

ISMAIL Salleh menunjukkan kawasan tanaman padi di bawah kawasan MADA yang tenggelam akibat banjir di Kampung Permatang Limau, Alor Setar, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kira-kira 624 hektar tanaman padi di Wilayah III Pendang dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tenggelam akibat banjir yang mencatatkan kerugian kira-kira RM4.6 juta.

Kerugian itu berdasarkan kepada purata kiraan hasil lima tan padi bagi setiap hektar sawah yang rata-rata kawasan terlibat kini sudah boleh dituai.

Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, kawasan itu hampir setiap tahun dilanda banjir disebabkan Sungai Padang Kerbau yang menerima bebanan hujan dari Kubur Panjang, Nawa dan Sungai Langgar yang bertembung untuk mengalir ke Sungai Kedah.

Katanya, rata-rata petani mengalami kerugian besar disebabkan tanaman padi mereka rosak akibat tenggelam sepenuhnya manakala sebahagian kawasan lain ditenggelami sehingga separuh ketinggian pokok padi.

“Takungan air mengambil masa untuk surut disebabkan struktur Sungai Pendang yang landai, maka perlu tunggu sehingga aliran air Sungai Anak Bukit ke laut baru air di sini boleh dialirkan.

“Faktor lain adalah kerana dua projek rancangan tebatan banjir (RTB) yang belum siap di Sungai Anak Bukit dan Sungai Pendang yang mana kita percaya mampu dialirkan sehingga 80 peratus aliran hujan dari kawasan hulu kelak,” katanya ketika meninjau sawah di Unit Permatang Limau PPK Titi Haji Idris, hari ini.

Dua daerah di Kedah dilanda banjir sejak Jumaat lalu yang merekodkan lebih 200 mangsa berpindah ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di Pokok Sena dan Kota Setar.

Tambah Ismail, pihaknya juga akan melakukan kerja-kerja pendalaman Sungai Pendang bagi menampung lebihan 20 peratus aliran hujan dari kawasan hulu setelah kedua-dua RTB itu siap kelak.

“Purata hujan setahun di Kedah lebih kurang 2,000 hingga 2,100 milimeter (mm) dan sehingga Oktober ini kita telah terima hujan pada tahap 1,400 mm. Masih ada baki sehingga 700 mm hujan sehingga hujung tahun ini.

“Kalau purata setiap bulan hujan seimbang kita tidak akan berdepan masalah tapi kalau hujan dalam masa singkat dengan jumlah yang besar maka kita akan hadapi banjir lebih teruk lagi seperti tahun lalu,” katanya.

Sementara itu ujar beliau, pihaknya akan membantu dalam menyegerakan pembayaran pampasan kepada para pesawah yang terjejas disebabkan ketiadaan pendapatan ekoran bencana banjir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN