JAKARTA: Seramai 61 pelajar sekolah dari Selangor terkandas lebih tiga jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini, petang semalam selepas ejen pelancongan tidak muncul untuk menguruskan pengangkutan dan penginapan mereka.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang waktu tempatan, kumpulan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar itu tiba menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Husin berkata, pihak sekolah telah menghubungi kedutaan selepas ejen pelancongan yang sepatutnya menguruskan pengangkutan dan penginapan tidak muncul.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan tersebut, beliau bersama kakitangan kedutaan bergegas ke tempat kejadian untuk membantu pelajar terkandas.
“Sejurus tiba saya terus menghubungi sebuah ejen pelancongan dimiliki rakyat Malaysia untuk menguruskan pengangkutan dan penginapan di sebuah hotel di sini.
“Alhamdulillah soal kebajikan 61 pelajar termasuk guru-guru yang mengikuti rombongan tersebut telah diuruskan dengan baik sepanjang mereka melancong di sekitar Jakarta,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Konvensyen DMDI Ke-23 hari ini.
Syed Mohamad Hasrin diminta mengulas video tular berdurasi 34 saat mengenai insiden itu.
Beliau berkata, ini merupakan kejadian pertama rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana ditipu ejen pelancongan.
“Ejen pelancongan yang diuruskan rakyat Malaysia di Jakarta telah mengambi alih pengurusan dan penginapan rombongan pelajar sehingga mereka berlepas pulang ke Malaysia nanti,” katanya.-UTUSAN










