SEPANG: Enam sukarelawan Global Sumud Nusantara (GSF) yang terlibat dalam proses penstrukturan peranan pada 28 September lalu akan memulakan tugas mereka di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini, bermula malam ini.
Menurut Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, beliau telah bertemu dengan kesemua mereka membabitkan lima warga tempatan dan seorang warga Brunei setelah mereka tiba di tanah air semalam.
“Alhamdulillah mereka telah pun selamat sampai dan akan mula berkampung di SNCC pada malam ini kerana kita belum habis lagi misi ini (dan sedang) memasuki fasa rundingan,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, enam sukarelawan itu diterbangkan pulang dari Greece ke Malaysia untuk menyambung tugas SNCC di sini.
Mereka yang diterbangkan pulang ialah Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Tuan Mohd. Asri Tuan Hussein, Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid dan warga Brunei, Rezahmaisalamah Md Yusof.
Sani Araby berkata, terdapat dua lagi sukarelawan Malaysia akan dihantar ke Amman, Jordan untuk membantu kumpulan perundangan sekretariat membuat persediaan iaitu Hidayat Abdullah dan Nik Aziz Nik Mohammad. – UTUSAN