53 lokasi 'hotspot' banjir dikesan di Pulau Pinang

53 lokasi ‘hotspot’ banjir dikesan di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) ketika merasmikan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) di Komtar, George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 53 lokasi ‘hotspot’ yang sering berlaku banjir telah dikesan di Pulau Pinang berdasarkan rekod kejadian banjir sebanyak tiga kali atau lebih dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 18 lokasi dikesan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), 13 lokasi di Barat Daya, 10 lokasi di Timur Laut serta masing-masing enam lokasi di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Menerusi lokasi-lokasi ini, kita dapat kenal pasti kawasan tumpuan bagi pelaksanaan projek mitigasi dan pencegahan yang lebih berkesan untuk mengurangkan risiko serta impak terhadap penduduk.

“Selain mengesan lokasi ‘hotspot’ banjir, kita juga telah menyediakan sebanyak 389 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Pulau Pinang untuk menghadapi kemungkinan bencana,” katanya selepas melancarkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) di Komtar di sini, hari ini.

Menurut Kon Yeow, walaupun Pulau Pinang mempunyai kawasan ‘hotspot’ banjir, situasi banjir di negeri ini pada tahun ini dilihat semakin terkawal dan menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Sehingga Oktober 2025, kita tidak menerima laporan kejadian banjir besar. Selain itu, daripada peruntukan sebanyak RM2 juta bagi bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir, hanya RM270,000 sahaja telah dibelanjakan (setakat ini),” ujar beliau.

Kon Yeow berkata, bagi memastikan pengurusan banjir yang lebih berkesan, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang melaksanakan 14 projek tebatan banjir tempatan di seluruh negeri.

“Projek-projek ini menelan belanja kira-kira RM1 bilion di mana sebahagian besarnya hasil peruntukan kerajaan Persekutuan. Ia dilaksanakan secara berterusan untuk mengurangkan impak banjir di lokasi ‘hotspot’,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan projek-projek tebatan banjir itu turut membantu mengurangkan risiko banjir kilat selain meningkatkan keupayaan negeri dalam menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu.

“Apabila lebih banyak projek dilaksanakan, lebih banyak kawasan dapat dilindungi dan impak banjir juga boleh dikurangkan. Ini penting supaya negeri berada dalam keadaan siap siaga,” katanya.

Mengulas mengenai pelancaran SDCC pula, Kon Yeow berkata, pusat itu diwujudkan bagi memperkukuh koordinasi antara semua agensi terlibat dalam pengurusan bencana di peringkat negeri.

“Pusat ini bertindak sebagai pusat penyelarasan utama. Jika Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca dalam tempoh dua atau tiga hari lebih awal, maka, SDCC akan mengaktifkan tahap kesiapsiagaan tertinggi dan menyelaras tindakan di lapangan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN