PETALING JAYA: Kementerian Digital dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI Peringkat Kebangsaan di Lot F, KL Sentral pada 18 Oktober ini.
Kementerian Digital dalam satu kenyataan berkata, majlis itu akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
“Lebih 5,000 pengunjung terdiri daripada warga kementerian, rakan industri, komuniti setempat serta masyarakat pelbagai kaum dan agama dijangka menghadiri Majlis Rumah Terbuka itu.
“Majlis dengan tema “Cahaya MADANI, Sinar Perpaduan”, membawa mesej bahawa cahaya bukan sahaja simbol utama perayaan Deepavali, tetapi juga melambangkan pencerahan, harapan dan perpaduan rakyat Malaysia dalam kerangka Malaysia MADANI,” katanya.
Menurut kementerian, majlis itu akan menampilkan elemen budaya masyarakat India seperti hidangan tradisional, persembahan seni serta tarian kebudayaan yang dapat dikongsi bersama semua lapisan masyarakat.
Katanya, sambutan Rumah Terbuka Deepavali telah menjadi amalan tradisi di peringkat nasional dan institusi kerajaan sebagai lambang kemajmukan serta keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Inisiatif ini menjadi wadah memperkukuh hubungan antara warga kementerian, pemegang taruh industri digital dan komuniti setempat, selain memupuk semangat kebersamaan dalam suasana perayaan.
“Penganjuran majlis tersebut diharap dapat memperkukuh semangat perpaduan nasional dan memupuk sikap saling menghormati antara kaum,” katanya.










