PUTRAJAYA: Seramai 413,372 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menduduki peperiksaan itu bermula 3 November ini bagi ujian bertutur.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, calon-calon akan menduduki peperiksaan di 3,350 pusat peperiksaan seluruh negara dengan ujian bertulis bermula pada 25 November hingga 23 Disember depan.
Katanya, seramai 127,526 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
“Ujian amali sains pula akan bermula 17 hingga 19 November, dan ujian mendengar bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula pada 20 November.
“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2025 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, waktu, kod kertas dan nama kertas peperiksaan.
“Ini termasuk serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung,” katanya hari ini.
KPM berkata, jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2025 boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.
Katanya, calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2025.
Dalam pada itu, KPM bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI) sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2025 berlangsung.
Katanya, calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya terlibat dan terkesan dengan bencana.
“KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan itu.
“Calon juga boleh menghubungi bilik gerakan LP dan JPN di seluruh negara. KPM akan melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” katanya. – UTUSAN

 
								 
											









