PETALING JAYA: Peruntukan had petrol RON95 di bawah Program Budi Madani RON95 (BUDI95) sebanyak 300 liter sebulan membolehkan seseorang rakyat Malaysia memandu sejauh 4,839 kilometer (km) sebulan atau 161 km sehari.
Jarak perjalanan harian itu masih memberikan keselesaan kepada seseorang rakyat Malaysia yang menetap dalam lingkungan 50 km dari tempat kerjanya untuk berulang alik setiap hari.
Pakar Automotif Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ir. Dr. Mohd. Azman Abas berkata, berdasarkan 10 jualan kereta penumpang teratas di Malaysia pada tahun ini, penggunaan bahan api yang diisytiharkan oleh pengeluar utama seperti Perodua, Proton, Honda dan Toyota adalah antara 3.7 liter hingga 6.7 liter bagi setiap 100km, bergantung kepada model.
Katanya, berdasarkan maklumat itu, secara puratanya kadar berkenaan adalah bersamaan dengan kira-kira 5 liter bagi 100 km.
“Secara teori, dengan peruntukan 300 liter RON95 atau BUDI95, seseorang pemandu boleh memandu sejauh 6,000 km. Namun begitu, dalam keadaan pemanduan sebenar, penggunaan bahan api sebenar lazimnya lebih tinggi daripada angka yang diisytiharkan oleh pengeluar.
“Perbezaan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor utama seperti kesesakan lalu lintas, gaya pemanduan, penyelenggaraan kenderaan, beban kenderaan, serta keadaan persekitaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, berdasarkan kajian dilaksanakan Suruhanjaya Eropah pada tahun lalu menunjukkan jurang purata antara penggunaan bahan api sebenar dan penggunaan rasmi bagi kereta baharu yang didaftarkan pada tahun 2021 adalah 23.7 peratus untuk kenderaan petrol.
Justeru, katanya, berdasarkan perbezaan 23.7 peratus itu, purata penggunaan bahan api yang diisytiharkan iaitu 5 liter bagi setiap 100 km meningkat kepada sekitar 6.2 liter bagi 100 km.
“Walau bagaimanapun, faktor-faktor unik di Malaysia seperti keadaan lalu lintas yang sesak dan corak pemanduan yang pelbagai boleh menyebabkan penggunaan bahan api lebih tinggi daripada anggaran tersebut.
“Kesesakan teruk yang berpanjangan di kawasan bandar utama seperti Lembah Klang, pemanduan berhenti dan bergerak (stop-and-go), masa melahu (tanpa pergerakan) ketika waktu puncak, serta penggunaan penghawa dingin secara berterusan semuanya menyumbang kepada peningkatan penggunaan bahan api,” katanya.
BUDI MADANI RON95 (BUDI95) ialah kesinambungan usaha Kerajaan Madani untuk terus menyalurkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat Malaysia, sementara mengekang ketirisan subsidi kepada golongan tidak dapat dipertimbangkan. Selain itu, kenderaan awam dan komersial yang diluluskan turut layak menerima BUDI95.
Seseorang rakyat Malaysia yang layak menerima BUDI95 akan mendapat had pengisian RON95 sebanyak 300 liter sebulan pada harga RM1.99 berbanding RM2.60 tanpa subsidi yang ditetapkan kerajaan mengikut pasaran semasa.
Mengulas lanjut, Mohd. Azman berkata, tabiat pemanduan tidak konsisten seperti pecutan mendadak, kerap membrek, dan memandu pada kelajuan tinggi turut meningkatkan penggunaan petrol.
“Secara teorinya, dengan kadar penggunaan 6.2 liter bagi setiap 100 km, peruntukan 300 liter di bawah program BUDI95 sebulan membolehkan sebuah kereta penumpang biasa memandu sejauh kira-kira 4,839 km sebulan, atau sekitar 161 km sehari.
“Namun secara realistik, angka ini mungkin lebih rendah bergantung kepada tahap kesesakan lalu lintas dan corak pemanduan harian di Malaysia,” katanya.
Katanya lagi, penilaian terhadap kecukupan had 300 liter perlu dilihat dari beberapa aspek penting termasuk jenis dan spesifikasi enjin.
“Kereta berkapasiti enjin kecil iaitu 1,300CC hingga 1,500CC dan menggunakan teknologi baharu seperti enjin cekap tenaga (EEV) akan menggunakan bahan api rendah berbanding kereta berkapasiti besar.
“Kedua, corak pemanduan harian memainkan peranan besar; pemanduan agresif, kelajuan tinggi dan kerap membrek akan meningkatkan penggunaan petrol. Ketiga, keadaan lalu lintas dan penyelenggaraan kenderaan juga mempengaruhi penggunaan sebenar,” katanya.
Komitmen Kerajaan Madani tidak hanya terhad kepada pengguna jalan raya biasa sebaliknya turut merangkumi lebih 53,900 pemandu e-hailing sepenuh masa dengan menetapkan had pengisian petrol RON95 sebanyak 600 liter sebulan.
Kenaikan sekali ganda berbanding pengguna biasa itu dilakukan hasil semakan silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Pada masa sama, Kementerian Kewangan juga telah mengaktifkan kelayakan BUDI95 kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar berdasarkan data yang diperoleh daripada daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi kerajaan negeri itu.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Mohd. Fahmy Abdullah berkata, penetapan pengisian BUDI95 sebanyak 600 liter sebulan kepada pemandu e-hailing yang layak dilihat sebagai langkah positif bagi mengurangkan kos operasi golongan tersebut.
Katanya, peningkatan satu kali ganda berbanding had ditetapkan kepada pengguna biasa adalah sangat memadai dan berbaloi.
“Perkara itu perlu dilihat dari sudut komersial, sebelum ini pemandu e-hailing secara puratanya mendapat pendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000. Jadi pada saya jumlah itu okay dengan peningkatan subsidi 600 liter sudah memadai kerana mereka ini lebih kepada komersial dan mempunyai pendapatan boleh menampung.
“Pada masa sama, ia juga dapat meringankan kos operasi terutamanya dari aspek bahan api, kerana kos operasi bahan api mereka ditanggung secara harian,” katanya.-UTUSAN