SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan tiga cubaan sindiket penyeludupan dadah dengan berat anggaran 40.778 kilogram (kg) bernilai RM6.6 juta.
Kejayaan besar itu hasil operasi berasingan di sekitar Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hasil tindakan pantas anggota Cawangan Narkotik, JKDM termasuk Anjing Pengesanan Dadah (K9).
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan) JKDM, Siti Mang berkata, kes pertama melibatkan rampasan dadah jenis kokain dengan berat 25,740 gram bernilai kira-kira RM5.1 juta yang ditemukan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 12 September lalu.
“Pemeriksaan yang dijalankan bersama Unit K9 menemui sebuah beg hitam berisi 25 bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk putih mampat disyaki kokain.
“Kontena itu dilabel sebagai peralatan perubatan untuk memantau tekanan darah dan dalam status pemindahan penghantaran ke Australia,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Siti berkata, bagi kes kedua, sepasukan anggota JKDM telah membuat serbuan di Banting, Selangor pada 11 September lalu dan menjumpai dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat 367 gram di dalam sebuah kereta jenama Toyota Camry yang ditinggalkan.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui dua pucuk senjata api bersama peluru hidup di dalam kenderaan yang ditinggalkan selain dadah dianggarkan bernilai RM61 ribu itu,” katanya.
Sementara itu, kes ketiga pula melibatkan serbuan di sebuah gudang syarikat kurier dalam Zon Perdagangan Bebas KLIA dengan merampas tiga kotak parcel mengandungi bungkusan-bungkusan leraian tumbuhan disyaki dadah jenis kanabis dengan berat kasar 14,671 gram bernilai lebih RM1.4 juta. – UTUSAN










