JITRA: Kira-kira 29 rumah di empat kampung dalam mukim Naga dan Malau iaitu Kampung Muhibbah, Kampung Paya Tok Teh, Kampung Tengah Malau dan Kampung Kemunting Baru terjejas akibat banjir setakat pukul 8 malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi berkata, banjir berlaku di kawasan terlibat susulan hujan lebat mulai pukul 2 petang hari ini.
“Kawasan paling teruk terjejas setakat ini adalah Kampung Muhibbah melibatkan 15 rumah diikuti Kampung Tengah Malau 12 rumah dan masing-masing satu rumah di Kampung Paya Tok Teh dan Kampung Kemunting Baru.
“Paras air di Kampung Muhibbah, Kampung Tengah Malau dan Kampung Kemunting Baru menunjukkan trend menurun, namun paras air di Kampung Paya Tok Teh menaik,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, jumlah mangsa terlibat masih dalam bancian dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka. – UTUSAN