17 Keberhasilan Utama Ekonomi telah diselesaikan - Utusan Malaysia

17 Keberhasilan Utama Ekonomi telah diselesaikan

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang dirancang di bawah Kepengerusian Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini telah diselesaikan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, satu lagi PED masih dalam proses akhir, namun pihaknya optimis ia dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat. 

“Malaysia telah menyiapkan semua PED dan laporan mengenainya akan dikemukakan kepada para pemimpin ASEAN untuk penerimaan serta catatan rasmi pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN akan datang.

“Di bawah tonggak ekonomi, kebanyakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) telah berjaya diselesaikan. 

“Kami gembira untuk membentangkan hasil pencapaian ini kepada para pemimpin pada Ahad ini untuk diterima dan dicatatkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Antara yang hadir termasuk Menteri Pelancongan, Perdagangan dan Industri Timor-Leste, Filipus Nona Pereira dan Menteri Perdagangan Thailand, Suphajee Suthumpun. 

Menurut Tengku Zafrul, majlis menandatangani beberapa perjanjian penting juga akan diadakan dengan disaksikan oleh para pemimpin ASEAN. 

“Antara perjanjian tersebut adalah Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) antara semua negara anggota ASEAN serta Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) yang akan turut disaksikan oleh Perdana Menteri China, Premier Li Qiang dan para pemimpin ASEAN,” katanya. 

AECC merupakan badan penyelaras utama yang memantau pelaksanaan kerja di bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN, satu daripada tiga Majlis Komuniti ASEAN. 

Mesyuarat AECC diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di KLCC dari 26 hingga 28 Oktober.

Sidang kemuncak ini dijangka menjadi antara mesyuarat terbesar dalam sejarah blok tersebut, menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama yang lebih baik selain menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh dan inklusif.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas kali terakhir menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×