PUTRAJAYA: Sejumlah 150,000 pemilik lesen memandu didapati belum layak menikmati program Budi Madani RON95 (BUDI95) disebabkan tidak mengemas kini maklumat MyKad masing-masing.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah itu mewakili 0.88 peratus daripada keseluruhan 17 juta penerima BUDI95 yang layak di seluruh negara.
Beliau berkata, semakan mendapati, tiga kategori pemilik lesen memandu yang belum mengemas kini maklumat itu termasuk pemilik kad pengenalan lama, nombor Sijil Kelahiran Malaysia (SKM) dan nombor pengenalan diri tentera dan polis.
“Kami mendapati ada sebilangan kecil pemegang lesen memandu mungkin menghadapi sedikit masalah teknikal. Mereka ini sebenarnya layak menikmati BUDI95 jadi tidak perlu bimbang.
“Mereka hanya perlu hadir ke mana-mana kaunter JPJ dan mengemas kini maklumat (butiran kad pengenalan baharu),” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Loke berkata, pihaknya mendapati, masih ada pemegang lesen memandu menggunakan Lesen Memandu Pasukan iaitu yang dikeluarkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau juga telah mengarahkan kaunter JPJ di seluruh negara termasuk di ibu pejabat dan negeri supaya membuka kaunter khas bagi kumpulan itu mengemas kini maklumat kad pengenalan masing-masing.
Loke berkata, proses kemas kini data baharu akan mengambil masa kira-kira seminggu sebelum mereka layak menikmati BUDI95.
Selain itu, beliau turut mendedahkan terdapat kira-kira 900,000 pemegang lesen memandu di Malaysia yang berstatus bukan warganegara. – UTUSAN










