13 ahli ‘Geng Captain Praba’ didakwa lakukan ja=enayah terancang

13 ahli ‘Geng Captain Praba’ didakwa lakukan jenayah terancang

SEBAHAGIAN 13 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, Sepang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 13 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Captain Praba’, lebih setahun lalu.

Mereka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terdiri daripada M.Lavindran, 27; M.Meganathan, 37; M.Tinesh, 20; K.Utayaragu, 29; M.Thinesh, 31; S.Jeevan, 19; J.Sangaranarayanan, 28; P.Joshua, 35 dan M.Devindran, 25.

Turut didakwa M.Nokarju, 29; S.Tivagaran, 22; S.Logeswaran, 26 dan D.Vijayakumar, 36.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Captain Praba’ di ladang kelapa sawit, Jalan Mahang, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom, Kuala Langat antara Disember 2023 sehingga 11 September 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, manakala 10 tertuduh diwakili peguam.

Meganathan, Sangaranarayanan dan Vijayakumar tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Terdahulu, kesemua 13 tertuduh yang berpakaian biasa dan tangan bergari itu tiba di mahkamah sekitar pukul 8 pagi dengan menaiki dua buah trak polis.

Pada 24 September lalu, media melaporkan polis menumpaskan dua kumpulan jenayah terancang yang aktif sejak 2023 dengan penahanan 17 individu melalui operasi khas ‘Op Jack Sparrow’, pada 11 September.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kumpulan jenayah terancang berkenaan aktif dalam pembunuhan, rompakan bersenjata, serangan menggunakan parang serta perbuatan khianat dengan api. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN