12 'scammer' mengaku bersalah tawar pinjaman tidak wujud

12 ‘scammer’ mengaku bersalah tawar pinjaman tidak wujud

SEBAHAGIAN daripada 12 individu dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini bagi menghadapi pertuduhan melakukan jenayah penipuan dengan menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tidak wujud, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 12 individu termasuk enam wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan jenayah penipuan dengan menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tidak wujud, minggu lalu.

Tertuduh, K. Logarooban, 22; M. Sayindeep, 22; Muhammad Iskandar Ibrahim, 22; Mohamad Yunus Shahril, 28; Salman Al Farisi, 19; Khairul Akhbar, 23; Nur Hasmirah Halim, 28; Nurain Ariesya Abdullah, 19; Nur Sofea Zara Muhammad Khairuddin Kasau, 22; Nurul Ain’ Aishah Azman, 24; Enjeley Anak Juen, 21, dan K. Yogarani, 19, bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Kesemua mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd. Darus.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa telah melakukan pakat jahat jenayah iaitu melakukan penipuan dengan menawarkan pinjaman yang tidak wujud secara dalam talian yang bertentangan dengan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu dilakukan di Pengkalan Tiara 6, Taman Pengkalan Tiara di dalam daerah Ipoh pada pukul 7.15 malam, 17 Oktober lalu.

Sehubungan itu, mereka telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang, selain mengenakan syarat tambahan terhadap dua warga Indonesia, Salman Al Farisi dan Khairul Akhbar.

Antara syarat tersebut ialah mereka perlu mempunyai dua penjamin rakyat tempatan berusia 18 tahun ke atas, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri setiap minggu di balai polis berhampiran. Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 19 Disember depan untuk keputusan jatuh hukum.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN