10,000 polis siap siaga Sidang Kemuncak ASEAN

10,000 polis siap siaga Sidang Kemuncak ASEAN

ANGGOTA Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam Taklimat Penugasan Sempena 47th Asean Summit and Related Summits yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh di Hangar Lapangan Terbang Lama, Bandar Malaysia hari ini.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menugaskan seramai 10,000 pegawai dan anggota bagi memastikan keselamatan serta kelancaran penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Kekuatan itu melibatkan semua jabatan di Bukit Aman termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)

Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh berkata, penugasan ini turut membabitkan semua elemen yang terdapat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. 

Katanya, jumlah itu termasuk lebih 900 pegawai dan anggota trafik dari luar Kuala Lumpur dan Selangor yang membantu kawalan lalu lintas di lokasi strategik.

Menurutnya, penugasan besar-besaran itu membabitkan penempatan anggota kawalan di 24 hotel utama yang menempatkan delegasi, dengan lebih 17 lokasi disahkan akan menjadi tumpuan utama.

“Kalau ikut kekuatan yang kita tugaskan untuk Ops ASEAN 47 tahun ini, anggarannya hampir 10,000 anggota keseluruhan. 

“Ia berdasarkan unjuran Kementerian Luar membabitkan delegasi yang menginap di 24 hotel sekitar ibu negara,” katanya dalam sidang media pada Taklimat Penugasan PDRM sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Tapak Hangar Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Lama, di sini hari ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menugaskan seramai 10,000 pegawai dan anggota bagi memastikan keselamatan serta kelancaran penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Beliau berkata, tahap kesiapsiagaan pasukan kini mencapai 100 peratus dengan semua anggota melapor diri, selain proses penempatan dan pengenalan kawasan operasi dilaksanakan secara berperingkat.

“Semua petugas sudah melapor diri dan akan digerakkan untuk membuat penyesuaian kawasan. Tugasan akan dijalankan dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar tanggungjawab,” katanya.

Mengulas lanjut, Fisol berkata kawalan keselamatan turut membabitkan pasukan khas seperti Unit Tindakhas (UTK) dan Cawangan Khas Bukit Aman bagi mengendalikan delegasi berisiko tinggi.

Beliau berkata, antara aset baharu yang digunakan ialah kenderaan perisai (APC) dan kereta keselamatan yang diterima daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), selain penggunaan dron serta peralatan logistik lain untuk tugasan pemantauan.

“Antara aset baharu yang kita dapat ialah kenderaan perisai (APC) yang akan digunakan oleh PGA. Kita juga akan gunakan aset dron serta kenderaan keselamatan bagi memastikan penugasan berjalan lancar, khususnya bagi negara-negara yang dikategorikan berisiko tinggi,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN