GEORGE TOWN : Insiden tanah runtuh yang berlaku berhampiran sebuah pasar raya di Paya Terubong, Ayer Itam di sini hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya 10 buah kenderaan yang berada di situ nyaris rosak dan terperangkap.
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Kolonel (PA), Lokman Hakim Abdul Rahman, kejadian dipercayai berpunca daripada hujan yang berterusan serta limpahan air yang turun dari atas bukit.
“Susulan kejadian itu, pihak APM mengambil langkah proaktif dengan menutup kawasan berkenaan dari orang awam, membantu mengalihkan kenderaan yang terlibat serta membuat pembersihan ‘debris’ (serpihan runtuhan) di kawasan berkenaan.
“Selain APM, turut serta dalam operasi itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), polis dan JKR (Jabatan Kerja Raya),” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden kejadian itu kira-kira pukul 2.41 petang.
“Runtuhan tanah yang berlaku adalah berskala sederhana dan tiada mangsa serta struktur bangunan berhampiran yang terjejas manakala sebahagian daripada kenderaan yang terlibat pula telah berjaya dialihkan ke kawasan yang lebih selamat.
“Buat masa ini, insiden tanah runtuh itu masih dalam pemantauan pihak bomba,” katanya yang memberitahu, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) turut memasang sawar-sawar keselamatan di sekitar kawasan terlibat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.-UTUSAN









