PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) memperketat syarat pencalonan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah dengan mewajibkan semua calonnya menandatangani perjanjian bon atau ganti rugi sebelum bertanding atas tiket parti itu.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman berkata, langkah tersebut sebagai jaminan untuk mengelakkan wakil rakyat daripada mengkhianati mandat rakyat dengan melompat parti, sekali gus memastikan kestabilan politik negeri.
Katanya, syarat baharu itu turut menegaskan calon yang terpilih tidak boleh sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi yang dimenangi pada PRN nanti, sama ada secara sengaja mahupun tidak.
“Meskipun sudah wujud Akta Lompat Parti, parti kami menambah satu lagi lapisan jaminan bagi mengelakkan sebarang bentuk khianat. Atas sebab itu, perkara tersebut turut dimasukkan ke dalam perlembagaan parti yang dengan jelas menetapkan bahawa mana-mana ahli yang ingkar atau tidak mematuhi arahan parti akan terbatal keahliannya secara automatik.
“Oleh itu, apabila dibaca bersama dengan Akta Lompat Parti, akta tersebut turut memperuntukkan bahawa seseorang ahli yang berhormat akan gugur kedudukannya jika parti mendapati beliau telah melanggar Perlembagaan parti, iaitu dengan tidak mematuhi arahan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Pada PRN16, Warisan merekodkan kemenangan di 23 kerusi, namun kerusi milik parti itu berkurang selepas 11 wakil rakyatnya melompat parti.
Mengulas lanjut, Azis berkata, perkara itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), sekali gus menjelaskan tindakan yang akan dikenakan kepada calon itu adalah sah mengikut perlembagaan parti.
“Warisan turut pinda perlembagaan di mana semua ahli wajib mendengar dan mengikuti arahan parti. Jika gagal berbuat demikian setelah diberi notis, keahlian mereka akan tergugur.
“Apabila keahlian tergugur kerana melanggar arahan parti, secara automatik mengikut Akta Lompat Parti, jika mereka adalah wakil rakyat, kerusi mereka juga akan terbatal,” katanya.
Mengenai kempen PRN, Azis berkata Warisan giat adakan majlis penerangan, jelajah serta pelbagai program bagi mendidik rakyat memahami konsep ‘pecah dan perintah’ serta bahaya parti serpihan.
“Kami mahu rakyat Sabah faham apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka undi. Apa juga senario selepas pilihan raya akan diputuskan bila tiba masanya. Buat masa ini kami serahkan kepada kebijaksanaan rakyat menilai dan memberi kepercayaan kepada Warisan,” katanya. – UTUSAN










