Warga Cuba tawar RM50,000 bantu cari anak dilarikan bekas suami - Utusan Malaysia

Warga Cuba tawar RM50,000 bantu cari anak dilarikan bekas suami

DAYLIN Limonte Avarez menunjukkan gambar Caleb ketika berusia enam tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang wanita warga Cuba merayu bantuan rakyat Malaysia mengesan anak­nya berusia tujuh tahun yang gagal dikesan selepas didakwa dilarikan oleh bekas suami dari Singapura ke negara ini, sejak Jun tahun lalu.

Daylin Limonte Avarez, 37, berkata, sejak tahun lalu dia cuba menghubungi keluarga bekas suaminya itu bagi mengesan kedudukan anaknya, namun tidak mendapat kerjasama, malah mereka mendakwa kali terakhir menemui bekas suaminya pada 27 Mei 2024.

Katanya, dia mengetahui bekas suami serta anaknya, Caleb keluar dari Singapura dan tinggal di Malaysia sejak Jun tahun lalu, sebelum membuat laporan polis di negara itu dan Johor Bahru, Johor.

Katanya, dia sanggup menawarkan RM50,000 kepada sesiapa yang dapat membantu mencari anaknya yang sudah lebih setahun tidak ditemui.

“Yang saya tahu, dia ada ahli keluarga tinggal di Johor Bahru, tetapi tidak diberitahu bekas suami dan anak berada di situ. Saya terlalu rindukan Caleb, sudah lebih setahun tidak bertemu, hanya pernah menghubungi melalui panggilan video yang kali terakhir pada beberapa bulan lalu.

“Tetapi, anak saya tidak tahu dia berada di mana, bekas suami pula enggan memberitahu dia menginap di mana. Tetapi, saya percaya dia dan Caleb sudah pun tinggal lebih masa di Malaysia dan tak boleh kembali sejak polis Singapura mengeluarkan waran tangkap kerana ingkar perintah Mahkamah Syariah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Daylin berkata, pada tahun ini anaknya yang berusia tujuh tahun sepatutnya pergi ke sekolah rendah di Singapura.

“Saya sudah pun daftarkan dia untuk masuk ke sebuah sekolah dekat dengan rumah bagi sesi tahun ini. Tetapi, dia tidak pernah hadir walaupun sehari sejak dibawa lari oleh bapanya,” katanya.

Jelasnya, dia berpisah dengan bekas suami lebih empat tahun lalu dan mendapat hak jagaan penuh anak lelakinya menerusi perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Singapura pada Mac 2021.

Katanya, lebih tiga tahun dia menjalankan tanggungjawab memenuhi perintah mahkamah dengan menghantar Caleb kepada bapanya pada pukul 5 petang setiap Sabtu dan mengambilnya kembali pada waktu sama setiap Ahad.

Kata pegawai pemasaran di Singapura itu, namun pada 26 Mei 2024, bekas suaminya enggan menyerahkan kembali anaknya yang ketika itu berusia enam tahun atas alasan mahu dia sendiri yang datang menuntut Caleb.

“Ketika itu, saya perlu bekerja sehingga lewat petang pada hujung minggu. Saya meminta bantuan rakan untuk menghantar Caleb ke rumah ayahnya. Kemudian pada Ahad, kawan saya yang sama juga tolong ambil, tetapi bekas suami enggan menyerahkan Caleb.

“Malah, dia memberi alasan dan berjanji akan menghantar Caleb ke sekolah pada keesokannya (27 Mei 2024), tetapi dia tak pernah hantar pun bila saya periksa dengan pengurusan sekolah.

“Sehinggalah selepas 21 Jun 2024, saya dapat pengesahan daripada polis dan imigresen Singapura yang Caleb dibawa ke Malaysia, sejak itu tidak lagi pernah menemuinya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN