Urusan naturalisasi pemain bola sepak ikut Perlembagaan

Urusan naturalisasi pemain bola sepak ikut Perlembagaan – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika meluncurkan e-learning Koreksional Jabatan Penjara Malaysia di KDN, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiap urusan melibatkan naturalisasi pemain bola sepak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilakukan secara tertib dan selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan.

Menegaskan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses permohonan dan pendaftaran kewarganegaraan tujuh pemain warisan negara itu adalah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

“FIFA satu contoh, tapi kalau ditanya saya nak keluh kesah apa? Kalau kita buat benda yang betul, ikut undang-undang, ikut Perlembagaan Persekutuan (melalui) Perkara 19 Akta Kelahiran Seksyen 10A,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bola sepak Malaysia berdepan ‘detik hitam’ apabila FIFA menjatuhkan hukuman berat ke atas FAM dan tujuh pemain warisan kerana memalsukan dokumen bagi tujuan kelayakan antarabangsa.

FIFA dalam kenyataannya berkata, FAM telah menyerahkan dokumen tidak sah untuk memastikan tujuh pemain warisan layak mewakili Harimau Malaya dalam aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF 350,000 (sekitar RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, masing-masing didenda CHF 2,000( RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, setiap permohonan naturalisasi melalui proses yang teliti termasuk semakan dokumen.

“Kita tengok semua yang itu, Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan (PP) semak, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara puas hati, lihat semua. Bahagian kita semua ikut tertib, itu kita jelaskan.

“Kecuali kita langgar itu semua, akta tolak ke tepi, Perlembagaan tolak ke tepi, main rempuh saja, itu ada sebab untuk kita susah hati (dengan) menyembunyikan sesuatu (dan) mengadakan benda yang tidak ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN