KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) wajar mempertimbangkan permintaan ahli akar umbi supaya parti itu menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), sebagai strategi memperkukuh identiti parti tempatan.
Setiausaha Pemuda UPKO Nasional, Rexie Gubat berkata, penggunaan logo sendiri adalah langkah baik dan praktikal untuk memperkukuh keyakinan rakyat perjuangan parti itu berpaksikan Sabah.
“Penggunaan logo sendiri juga memberi fleksibiliti politik kepada UPKO untuk bersuara lantang mengenai isu-isu hak negeri,” katanya hari ini.
Beliau berkata, Pemuda UPKO menyokong penuh saranan akar umbi parti semua bahagian untuk menggunakan logo sendiri dalam menghadapi PRN17 sebagai strategi memperkukuh identiti parti di Sabah.
Katanya, walaupun pendekatan mengguna logo sendiri, UPKO masih mengekalkan kerjasama strategik dengan rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Daripada sudut strategi komunikasi dan pemasaran politik, penggunaan logo sendiri akan memperkukuhkan jenama UPKO di hati rakyat Sabah.
“Penggunaan logo UPKO tidak mengelirukan kerana parti itu sememangnya dikenali dan semakin diyakini,” katanya.
Rexie menyifatkan logo sendiri membawa mesej supaya rakyat tahu UPKO parti tempatan yang membela mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di Parlimen.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UPKO Bahagian Ranau berkata, dengan menampilkan identiti sendiri sambil terus menjadi sebahagian daripada gabungan nasional, parti itu mampu mengimbangi kepentingan Sabah dengan akses kepada kuasa di Putrajaya. – UTUSAN










