PETALING JAYA: Bakal mengubah status diri menjadi seorang isteri beberapa jam sahaja lagi, penyanyi, Amira Othman, sempat mengalunkan ayat suci al-Quran semasa Majlis Khatam al-Quran Setulus Takdir, pada Ahad.
Dalam video yang dimuat naik Instagram Unifi, Amira atau Nadia Amira Othman , 31, dilihat manis mengenakan jubah berwarna coklat muda mengalunkan bacaan surah al-Kautsar dalam acara yang dipimpin oleh pendakwah, ustazah Asni Mansor.
Tidak hanya bacaan al-Quran, majlis tersebut juga diserikan dengan bacaan selawat dan Qasidah.
“Bertambah cantik Kak Long (panggilan kepada Amira) di majlis khatam al-Quran. Bertuah Fattah memiliki awak,” tulis satu komen.
“Merdu bacaan, untungnya Fattah dapat ‘full package’,” tulis komen yang lain.
“MasyaAllah, sejuk mata memandang,” tulis seorang peminat.
Selesai majlis, bakal suami yang juga pelakon, Fattah Amin juga hadir dalam berpakaian sedondon dan berkopiah putih. Masing-masing menerima naskhah al-Quran daripada ustazah Asni Mansor.
Turut dilihat hadir di acara petang tadi ialah rakan selebriti seperti Nabila Razali, Tasha Manshahar, Datin Paduka Umie Aida dan Betty Rahmad.
Majlis ijab kabul pasangan selebriti ini dijadualkan berlangsung pada pukul 8 malam ini. -UTUSAN